BEKAS pengurus Watford, Marco Silva ganti Sam Allardyce di Goodison Park. FOTO Agensi
AFP

EVERTON melantik Marco Silva sebagai pengurus baharu, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dalam laman web pasukan, semalam.

Pengendali berusia 40 tahun dari Portugal itu yang menggantikan tempat Sam Allardyce di Goodison Park memiliki pengalaman di EPL sebelum ini bersama Watford dan Hull City,

Silva sebelum ini turut meraih pelbagai trofi ketika membimbing Sporting Lisbon dan kelab Greece, Olympiakos selain membantu Estoril menjadi pasukan digeruni di negara kelahirannya, Portugal.

Everton cuba membawanya ke Goodison Park musim lalu sebelum akhirnya melantik Allardyce dengan kehadirannya mencetus berang Watford yang mendakwa “pendekatan tidak wajar oleh pencabar di Liga Perdana.”

Dikenali sebagai pengurus yang mahu pasukannya bermain dengan ‘cantik’, mementingkan corak serangan, Silva percaya peminat di Everton agak bangga dengan apa yang mereka lihat di atas padang musim depan.

“Saya amat bangga untuk menjadi pengurus baharu Everton,” kata Silva kepada Evertontv. “Saya teruja dan saya benar-benar gembira untuk mengambil cabaran baharu ini untuk kami sebagai kelab dan buat saya sebagai pengurus.

“Saya tahu sejarah besar Everton dan apa yang peminat jangkakan. Saya yakin apabila semua orang bekerja keras bersama, saya akan bersedia untuk cabaran ini.”

Ketika pencabar tetangga Liverpool menikmati salah satu musim terbaiknya dengan mara ke final Liga Juara-Juara dan menamatkan saingan liga di tangga keempat, Everton mengakhiri kempen di tangga ketujuh sekali gus terlepas tiket ke Liga Europa.

Disokong oleh pemilik kelab yang juga jutawan Iran, Farhad Moshiri, Silva berkata beliau sudah bersedia untuk memenuhi jangkaan peminat yang dahagakan kejayaan pada musim  2018-2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 2:05 AM