XHAKA (terbaring) gembira dengan berita tentang kecederaannya. -Foto
Reuters

PEMAIN tengah Switzerland, Granit Xhaka mengakui lega susulan pemeriksaan mendapati dia sekadar mengalami lebam di lutut selepas bertembung dengan rakan sepasukan pada sesi latihan.

Media melaporkan Xhaka terpaksa dikejarkan ke hospital selepas bertembung dengan rakan sepasukannya, Valon Behrami pada sesi latihan yang berlangsung dalam cuaca hujan.

Namun, Persekutuan Bolasepak Switzerland (SFV) menjelaskan pemain tengah Arsenal itu hanya menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI).

Xhaka adalah tonggak negara itu yang bakal berdepan Brazil, Serbia dan Costa Rica dalam saingan Kumpulan E.

“Saya begitu lega,” kata Xhaka yang mengakui kesal selepas spekulasi kecederaan itu menimbulkan kerisauan kepada ahli keluarganya.

“Kami boleh menyatakan ligamen tidak mengalami sebarang kecederaan namun kami tetap perlu berjaga jaga,” kata doktor pasukan Switzerland, Pierre Etienne Fournier berkenaan keputusan imbasan MRI Xhaka.

“Ia sekadar lebam yang menyakitkan di bahagian lutut.”

SFV turut mengesahkan Xhaka terpaksa diketepikan bagi aksi persahabatan bertemu Sepanyol, Ahad ini selain turut terlepas beberapa sesi latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 7:50 AM