MONCEF BELKHAYAT
MONCEF BELKHAYAT
AFP

BIDAAN Maghribi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026 diterima Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan akan dibenarkan mencabar Amerika Utara menerusi undian pada 13 Jun, pegawai bidaan memberitahu AFP.

“Bidaan Maghribi sudah diterima,” kata Moncef Belkhayat, bekas menteri sukan yang berada dalam jawatankuasa itu, selepas bidaan berkenaan diteliti oleh badan induk bola sepak dunia itu.

“Jawatankuasa khas hari ini mengesahkan keupayaan teknikal Maghribi untuk menganjurkan Piala Dunia 2026. Seluruh jentera kami akan terus berusaha untuk memastikan kemenangan pada 13 Jun ini di Moscow.”

Undian berkenaan akan diadakan di Kongres FIFA menjelang perlawanan pembukaan Piala Dunia 2018 di Russia.

Media Maghribi sebelum ini melaporkan desas-desus yang FIFA akan menolak bidaan negara Afrika Utara itu atas beberapa faktor termasuk masalah logistik antara lima kota utama di Maghribi.

Bidaan itu mendapat sokongan berikutan minat mendalam Maghribi dalam bola sepak, saiz negara yang kecil, cuaca yang hampir sama dengan Eropah dan sokongan daripada negara-negara rantau Afrika, di mana hanya sekali Piala Dunia pernah dianjurkan - di Afrika Selatan pada tahun 2010.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 10:45 AM