SAZALI akan berdepan hukuman tambahan selepas melanggar hukuman asal. -Foto fail
Mohd Khairie Khalid
khairie@nstp.com.my


APAPUN alasan bekas jaguh bina badan negara, Sazali Samad yang mencetuskan kontroversi dengan bertanding ketika masih menjalani hukuman gantung empat tahun akibat kesalahan doping, ia jelas tidak mampu mempertahankan dan memberi talian hayat kepada dirinya. 

Sebaliknya, juara Mr Universe 10 kali itu yang bertanding dalam Kejohanan China Sport Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini di Shanghai, China baru-baru ini hanya perlu bersedia untuk menerima hukuman tambahan daripada Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF).

Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata, mengikut Kod Anti-Doping mana-mana atlet yang menjalani tempoh penggantungan tidak boleh bertanding, atau menjadi jurulatih serta membabitkan diri dalam sebarang aktiviti sukan sehingga tempoh penggantungan tamat.

“MBBF berhak bertanya kepada Sazali atas sebab apa dia melanggar hukuman dan bertanding.

“Mengikut Kod Anti-Doping mana-mana atlet yang menjalani tempoh penggantungan tidak boleh bertanding, atau menjadi jurulatih serta membabitkan diri dalam sebarang aktiviti sukan sehingga tempoh penggantungannya tamat.

“Mengikut Kod Anti-Doping, tempoh penggantungan boleh ditambah, harus terjadi jika MBBF tidak berpuashati dengan penjelasan yang diberikan, ataupun ia tidak munasabah dan berasas,” kata Dr Ramlan ketika dihubungi, hari ini.

Sazali yang digantung selama empat tahun gara-gara positif steroid berkuat kuasa pada 22 September 2015 dan tempoh penggantungannya hanya dijadualkan tamat tahun depan didapati bertanding dalam Kejohanan China Sport Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini, baru-baru ini.

Pada kejohanan itu Sazali memenangi emas kategori 75 kilogram (kg) dan menduduki tempat kedua kategori terbuka.

Sazali bagaimanapun tampil menjelaskan kontroversi itu dengan memberitahu tujuannya bertanding adalah atas dasar jemputan penganjur selain pertandingan itu terbuka dan tidak melalui mana-mana persatuan sukan.

Malah, Sazali yang berusia 51 tahun mendakwa tujuannya juga mahu mengenali syarikat kecergasan di luar negara dan untuk mengembangkan akademinya.

Mengulas lanjut, Dr Ramlan menjelaskan walaupun ‘nasi sudah menjadi bubur’, namun beliau percaya MBBF akan bersikap adil.

“MBBF perlu mengambil tindakan sewajarnya tetapi Sazali juga perlu diberikan peluang membuat penjelasan kerana itu adalah haknya,” kata Dr Ramlan.

Dr Ramlan turut menasihati semua atlet yang dalam tempoh penggantungan akibat kesalahan doping supaya menghormati tempoh itu supaya sukan negara tidak terjerumus dalam kancah kontroversi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 2:57 PM