PEMAIN Pulau Pinang di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada Februari lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
PEMAIN Pulau Pinang di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada Februari lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Aziman Rosdi


PELUANG Pulau Pinang untuk terus kekal dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, terjejas berikutan masalah kewangan yang kian meruncing.

Akibat masalah berkenaan, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) bukan saja gagal membayar tunggakan gaji penyerang dari Denmark, Ken Ilso seperti yang dilaporkan oleh Sukan NSTP sebelum ini malah tiga lagi pemain import, Ugo Ukah (Nigeria), Kang Seung-Jo (Korea Selatan) dan Sanna Nyassi (Gambia) turut menerima nasib sama.

Lebih memburukkan keadaan, FAP juga ketiadaan dana untuk membayar dua bulan gaji Oktober dan November untuk pemain skuad tahun lalu, sebulan gaji (Disember) kepada semua pemain skuad musim ini dan tunggakan gaji empat bulan membabitkan skuad Piala Presiden dan Belia.

Perkara itu disahkan sendiri oleh naib presidennya, Aziz Shariff yang menyuarakan kebimbangan mengenai nasib tidak menentu skuad Harimau Kumbang ketika ini.

“Apa yang didakwa oleh Ken Ilso mengenai tunggakan gaji itu betul, malah kami juga mempunyai tunggakan gaji dengan tiga lagi pemain import. Kami tidak berselindung mengenai masalah ini kerana kami sedang berusaha untuk menyelesaikannya dengan mencari penaja.

“Bukan itu saja, kami juga masih berhutang gaji pemain skuad tahun lalu dan musim ini. Malah gaji untuk pemain skuad Piala Presiden dan Belia juga sudah empat bulan tertunggak. Bukan kami tak nak bayar tapi sekarang kami benar-benar tidak ada duit,” katanya yang enggan mendedahkan jumlah keseluruhan tunggakan gaji pemain itu.

Dengan kemelut yang melanda itu, Pulau Pinang yang dibimbing Zainal Abidin Hassan dilihat bergelut untuk mempamerkan prestasi baik apabila kini menduduki tangga ke-10 Liga Perdana.

Aziz berkata, dengan masalah pembayaran gaji itu, tindakan pemotongan mata oleh badan pentadbir bola sepak tanah air (MFL) bukan lagi perkara yang FAP bimbangkan sebaliknya keupayaan mereka untuk terus kekal dalam Liga-M musim depan.

“Masalah ini timbul apabila peruntukan diterima tidak seperti yang dirancang sedangkan kita sudah menandatangani kontrak dengan pemain. Kita tidak menyalahkan kerajaan negeri kerana mereka sudah banyak membantu dari segi kewangan.

“Soal kena potong mata bukan lagi penting buat masa ini, kerana apa yang paling ditakutkan kalau Pulau Pinang tidak dapat beraksi dalam Liga Malaysia musim depan. Kita akan cari jalan untuk menyelesaikan semua hutang ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 5:18 PM