MARQUEZ (dua kanan) meraikan jaringan pertama bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, malam tadi FOTO Mohd Azren Jamaludin
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di persada selepas membenam Perak 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, malam tadi.

Skuad Harimau Selatan yang turun beraksi di laman sendiri menguasai seawal pemainan dengan penampilan pertama import baharu, Fernando Marquez yang berjaya menjaringkan gol pertama.

Turut berjaya mencetak nama sebagai penjaring adalah tenaga import, Jorge Santos pada hujung babak kedua untuk sekali gus menyaksikan tuan rumah mengumpul 32 mata selepas mengharungi 13 perlawanan.

Seawal minit ke-4, akibat kekasaran yang dilakukan pemain pertahanan pelawat terhadap Marquez tatkala bola sepakan percuma Safiq Rahim tepat kepada pemain import baharu itu menyaksikan pengadil Suhaimi Mat Hassan tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Marquez yang mengambil sepakan itu mudah merembat bola ke penjuru kanan menewaskan penjaga gol Perak Hafizul Hakim Khairul Nizam untuk meletakkan tuan rumah mendahului 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, anak didik Mehmet Durakovic cuba bangkit melakukan serangan balas, namun bola rembatan leret Mohd Nor Hakim Hassan berjaya dihalang dengan kaki penjaga gol, Farizal Marlias pada min ke-14.

Kesilapan benteng pertahanan tuan rumah pada minit ke-36 hampir dihukum skuad The Bos Gaurus apabila bola umpanan Wander Luiz berjaya disambar Mohd Nor Hakim yang bertindak melambung bola selepas melihat Farizal sudah terkeluar dari posisi, namun gagal menghasilkan gol.

Bersambung babak kedua, tuan rumah menggandakan asakan namun masih belum memberi jaminan untuk mencipta kemenangan.

Dalam pada itu, Santos yang dimasukkan pada minit ke-75 nyata membuahkan hasil apabila dia yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti merembat bola kencang pada minit ke-83 menewaskan Hafizul Hakim untuk memastikan kemenangan 2-0 memihak JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 12:38 AM