PELUMBA Moto3 negara, Adam Norrodin ketika berlumba di GP Itali. FOTO SIC Racing Team
Sukhairi Thani


PELUMBA Moto3 negara, Adam Norrodin tidak dapat meneruskan perlumbaan Grand Prix (GP) Itali apabila terbabas hanya selepas dua pusingan saingan bermula, sebentar tadi.

Dia yang bermula dari petak kelapan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius tatkala rakan sepasukannya di PETRONAS Sprinta Racing, Ayumu Sasaki menamatkan saingan di tangga ke-16.

Sasaki yang memulakan perlumbaan dari petak terbaik dalam kariernya Moto3 - ketiga - di Litar Mugello menemui garisan penamat dengan catatan 39 minit 36.081 saat.

Pelumba Del Conca Gresini Moto3, Jorge Martin meraih kemenangan ketiganya bagi musim ini dengan catatan terpantas, 39'20.810s manakala Marco Bezzecchi (Redox PruestelGP) kedua, 39'20.829s.

“Saya sangat kecewa memandangkan keputusan yang sangat kuat pada minggu ini,” kata Adam.

“Saya begitu selesa dan menjangkakan keputusan yang baik di sini namun ia tidak menjadi. Apapun, saya gembira kerana dapat kembali memberi saingan pada minggu ini dan akan terus mencuba pada perlumbaan seterusnya.”

Fabio di Giannantonio dari Itali pula menamatkan saingan di tangga ketiga, ketinggalan 0.043s daripada Martin yang kini berada di tangga kedua keseluruhan bagi kelas Moto3 dengan 80 mata. Bezzecchi masih berada mendahului carta dengan 83 mata.

Adam kekal dengan 16 mata, namun turun satu anak tangga ke kedudukan ke-19 manakala Sasaki juga tidak mengumpul sebarang mata di Itali dan masih mengumpul 17 mata keseluruhan selepas enam pusingan perlumbaan setakat ini.

Pusingan ketujuh bagi musim 2018 dijadual berlangsung di GP Catalunya, Sepanyol pada 17 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 9:37 PM