PELUMBA Ducati, Jorge Lorenzo menjuarai GP Itali. FOTO Reuters
AFP

JAGUH Sepanyol, Jorge Lorenzo merangkul kemenangan MotoGP pertamanya pada 2018 apabila mengungguli Grand Prix (GP) Itali, hari ini ketika pendahulu kejuaraan, Marc Marquez menamatkan perlumbaan di tangga ke-16.

Lorenzo yang memulakan perlumbaan di petak kedua, memimpin perlumbaan sehingga penamat dengan rakan sepasukannya daripada Ducati, Andrea Dovizioso mengakhiri saingan di kedudukan kedua.

Legenda Itali yang memulakan saingan di petak utama, Valentino Rossi melengkapkan kedudukan podium bersama Yamaha.

Marquez yang juga juara dunia dari Sepanyol, kekal pendahulu kejuaraan selepas lima pusingan sekali pun menamatkan perlumbaan di luar kedudukan mata apabila jenteranya terbabas di awal perlumbaan.

“Sesuatu yang istimewa untuk menang di sini bersama Ducati,” kata Lorenzo yang memiliki tiga kejuaraan dunia tetapi baru meraih kemenangan sulung bersama Ducati.

Pada empat pusingan awal, Lorenzo gagal menamatkan perlumbaan di Qatar dan Sepanyol.

Marquez yang berusaha memenangi perlumbaan keempat musim ini terbabas pada pusingan kelima dengan juara dunia tujuh kali MotoGP, Rossi, 39 mendaki ke tangga kedua kedudukan pelumba dengan ketinggalan 23 mata.

“Ia perlumbaan yang amat-amat sukar, tetapi kami sudah jangka. Saya banyak bergelut terutama di bahagian depan,” kata Rossi.

“Tetapi pada akhirnya, apa yang saya lakukan adalah pilihan yang tepat, kerana saya dapat untuk memberi tekanan di peringkat akhir dan mengekalkan (Andrea) Iannone di belakang.

“Ia adalah sasaran saya untuk kembali ke podium di Mugello, jadi saya amat gembira.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 10:06 PM