DONG Hyun (kiri) setuju sertai TFC sehingga hujung musim ini. -Foto fail
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


WALAUPUN tinggal beberapa jam saja sebelum jendela kedua perpindahan pemain ditutup, Terengganu FC (TFC) memanfaatkan peluang sebaik mungkin apabila mengikat pemain import dari Korea Selatan, Do Dong Hyun petang semalam.

Kehadiran pemain import baharu itu sekali gus menamatkan spekulasi sebelum ini yang menyatakan skuad terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu hanya menggunakan pemain import sama berikutan kekurangan dana selepas peralihan kuasa daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada PAS.

Berita gembira itu disahkan ketua jurulatih skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim sesudah beliau mendapat ‘lampu hijau’ daripada pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk mengikat pemain itu.

“Dong Hyun yang juga bekas pemain import Kelantan sebelum digugurkan kini sah menjadi milik TFC dan kedatangan pemain berusia 24 tahun itu ternyata menggembirakan kem pasukan.

“Dengan kehadiran bekas pemain B-20 Korea Selatan itu yang pernah beraksi di Australia bersama kelab Brisbane Roar bermakna penyerang Bruno Suzuki akan dihantar pulang ke pasukan asalnya Terengganu FC II (TFC II), manakala pemain import TFC II, Lee Jun Hyeob akan digugurkan,” kata Irfan.

Sebelum ini, Jun Hyeob adalah pemain import TFC, namun disebabkan prestasi kurang memuaskan pemain itu ditukar dengan Suzuki yang ketika itu beraksi dengan skuad TFC II dengan harapan pemain dari Korea Selatan itu mampu meningkatkan prestasinya, namun impian itu tidak menjadi kenyataan.

Mengulas lanjut, Irfan berharap kehadiran bekas pemain UiTM FC musim 2017 yang berketinggian 1.73 meter itu mampu memperkasakan lagi jentera serangan TFC yang dilihat tidak begitu tajam.

“Pemain yang boleh beraksi di posisi penyerang dan sayap itu adalah pemain berkualiti sebagaimana ketika beraksi bersama Kelantan dengan meledak empat gol manakala dengan UiTM 13 gol dalam saingan Liga Perdana musim lalu.

“Justeru kami harap pemain itu mampu membuktikan aksinya masih bagus dan mampu memberi impak berkesan kepada pasukan,” kata Irfan yang mengikat pemain itu hingga hujung musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 11:46 AM