KARIUS alami konkusi ketika berlanggar dengan Ramos. FOTO/AFP
AFP

LOS ANGELES: Penjaga gol Liverpool Loris Karius mengalami konkusi sebelum kesilapan yang memberikan Real Madrid mahkota Liga Juara-Juara bulan lalu, kata dua doktor di Boston yang memeriksa pemain itu.

Kenyataan daripada Ross Zafonte dan Lenore Herget mendedahkan, Karius menjalani pemeriksaan di Hospital Massachusetts pada 31 Mei, lima hari selepas kekalahan 3-1 Liverpool kepada Madrid di Kiev.

“Selepas meneliti rakaman perlawanan dan dibandingkan dengan sejarah ... pemeriksaan fizikal dan objektif matriks, kami membuat kesimpulan yang Karius mengalami konkusi ketika perlawan pada 26 Mei 2018,” kata kenyataan oleh Zafonte dan Herget.

Karius pada minit ke-49 mengadu kepada pengadil yang dia disiku oleh pertahanan Real Madrid Sergio Ramos tetapi tiada tindakan dikenakan.

Dua minit kemudian Karius melakukan kesilapan memalukan apabila balingan kepada pertahanan Liverpool dipintas oleh Karim Benzema untuk gol pembukaan aksi final itu. 

Karius juga dipersalahkan untuk gol ketiga Real yang dijaringkan Gareth Bale dan ia melengkapkan malam yang cukup mengecewakan buat penjaga gol Jerman itu.

Menurut Zafonte dan Herget, ada kemungkinan konkusi berkenaan memberi impak terhadap persembahan Karius.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 8:25 AM