SIMONA optimis dapat tebus duka di Paris. FOTO/AFP
Reuters

PARIS: Pemain nombor satu dunia Simona Halep dua kali kecewa dalam misi memburu kejayaan Grand Slam di Paris, namun dia yang kini memerlukan dua kemenangan untuk menjulang gelaran itu langsung tidak tertekan.

Simona akan berdepan pemain Sepanyol, Garbine Muguruza pada aksi separuh akhir awal pagi esok, untuk tiket ke final ketiga di Roland Garros dalam tempoh lima tahun dan kejuaraan Grand Slam pertamanya.

“Saya tidak merasai sebarang tekanan. Saya bermain dengan baik dalam kejohanan ini, semakin lama semakin baik. Saya berdepan lawan yang mencabar, esok saya akan berdepan seorang lagi,” kata Simona selepas membenam pemain Jerman, Angelique Kerber 6-7 (2/7), 6-3, 6-2 pada suku akhir.

Simona begitu menyenangi Paris, bandar raya dan venue kejohanan kegemarannya.

Namun ibu negara Perancis itu masih belum memberikan kejayaan buatnya.

Pada 2014, pemain berusia 26 tahun itu muncul naib juara di tangan Maria Sharapova.

Tahun lalu dia mengungguli set pertama dan tiga game perlawanan akhir menentang Jelena Ostapenko sebelum permainannya tiba-tiba merudum.

Berada di laluannya kini adalah Garbine, pilihan ketiga yang membelasah Maria 6-2, 6-1 pada satu lagi aksi suku akhir wanita dan masih mengekalkan kemenangan setiap set dalam kejohanan itu.

“Ya, dia pantas menewaskan semua,” kata Simona mengenai lawannya.

“Jadi saya perlu bertahan, cuba membuatnya tidak selesa di gelanggang dan cuba memberikan aksi terbaik.

“Dia mempunyai segala-galanya. Dia pemain yang hebat jadi esok adalah cabaran besar buat saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 11:42 AM