BEKAS jaguh bina badan negara, Sazali Abd Samad. FOTO OWEE AH CHUN
Mohd Khairie Khalid


BEKAS jaguh bina badan negara, Sazali Samad yang dikenakan hukuman gantung tambahan empat tahun lagi menuntut keadilan buat dirinya sambil mendakwa wujudnya salah laku di dalam Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF).

Meskipun malas memikirkan mengenai hukuman tambahan itu, juara Mr Universe 10 kali itu mendakwa hukuman berkenaan tidak adil dan ‘double standard’ dengan mendakwa beberapa bekas atlet yang pernah digantung turut melakukan kesalahan, tetapi tidak dikenakan sebarang tindakan. 

“Mereka kata saya salah kerana bertanding di China dan ikut Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) memang tak boleh sertai sebarang aktiviti tapi mengapa ada atlet yang tengah digantung dipilih menjadi pengadil. Orang lain yang kena macam saya, kenapa mereka tak mengikut WADA?

“Ada daripada pasukan saya dulu, dalam pasukan polis pun ada tetapi tidak dikenakan tindakan, malah boleh menjadi jurulatih kebangsaan, jadi pengadil. Kenapa dia boleh dilantik sebagai jurulatih kebangsaan,” soal Sazali.

Terdahulu, Sazali, 51, terpaksa membayar harga mahal di atas tindakan kontroversinya menyertai Kejohanan China Sports Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini di Shanghai, baru-baru ini apabila hukuman penggantungannya ditambah empat tahun lagi, hari ini.

Keputusan itu diputuskan Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib & Anti-Doping) Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) sekali gus hukuman penggantungan ke atasnya yang sepatutnya berakhir pada 22 September 2019 hanya akan berakhir pada 22 September 2023. 

“Memang saya tidak berpuas hati dengan keputusan MBBF, semua orang menanti apa maklum balas daripada pihak persatuan. Mereka menambah hukuman saya empat tahun lagi... memang busuk hati.

“Benda ini semua disebabkan saya bertanding di China, memang ada ‘double standard’, ketidakadilan dalam keputusan ini. Sebut saya sebagai ikon terus hukuman ditambah, orang lain yang salah tak ada tindakan pula.

“Saya memohon agar Pesuruhjaya Sukan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Majlis Sukan Negara (MSN) siasat MBBF kerana ada salah laku di dalamnya,” kata Sazali yang menegaskan sudah keluar daripada naungan MBBF.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 7:07 PM