SETIAUSAHA Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF), Kamaruzaman Kadir ditanya media berhubung kes bekas bina badan negara Sazali Abd Samad di Pejabat MBBF di Kompleks Sukan Desa Tasik, Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi. FOTO Owee Ah Chun
Mohd Khairie Khalid


PERSEKUTUAN Bina Badan Malaysia (MBBF) meminta bekas jaguh bina badan negara, Sazali Samad mengemukakan bukti di sebalik dakwaannya badan induk itu tidak adil dan bersikap ‘double standard’ ketika menghukumnya, semalam.

Ini selepas juara Mr Universe 10 kali berkenaan mendakwa terdapat atlet yang melakukan kesalahan sama sepertinya termasuk menyertai pertandingan, menjadi pengadil dan jurulatih ketika masih dalam penggantungan akibat kesalahan doping, tetapi tidak dikenakan tindakan oleh badan induk itu. 

Setiausaha Kehormat MBBF, Kamaruzaman Kadir berkata, dakwaan juara Mr Universe 10 kali itu serius dan pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci mengenainya. 

“Kita akan melakukan perbincangan, menyiasat serta menyelidik atas segala dakwaan yang dilontarkan Sazali secara lebih lanjut di peringkat dalaman. Jika boleh kita minta dia mengemukakan bukti bagi membantu siasatan kita,” kata ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Sukan NSTP melaporkan Sazali yang dikenakan hukuman gantung tambahan empat tahun lagi selepas didapati bersalah menyertai Kejohanan China Sports Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini di Shanghai, baru-baru ini ketika dalam tempoh penggantungan, menuntut keadilan buat dirinya sambil mendakwa hukuman itu tidak adil dan ‘double standard’.

Keputusan diambil Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib & Anti-Doping) MBBF itu bermakna hukuman penggantungan ke atas Sazali yang sepatutnya berakhir pada 22 September 2019 hanya akan berakhir pada 22 September 2023.

Sazali turut menyeru Pesuruhjaya Sukan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) melakukan siasatan terhadap MBBF.

“Mana-mana atlet yang bertanding di luar kita kena dapatkan lebih banyak maklumat, mungkin bertanding atas tiket sendiri serta tidak melalui persatuan… kalau tidak mengikut persatuan, kita tidak tahu,” jelas Kamaruzaman.

Dalam pada itu, Kamaruzaman menegaskan keputusan MBBF menghukum Sazali adalah mengikut peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 8:13 PM