Pemain Selangor, Ilham Udin (kanan) cuba melepasi pemain PKNS, Daniel Sang Ting. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Firdaus Hashim


SHAH ALAM: Selepas dikecewakan dalam aksi pusingan pertama Liga Super di gelanggang lawan Rabu lalu, hajat PKNS FC untuk melunaskan 'dendam' ke atas Selangor tidak kesampaian apabila sekadar terikat 2-2 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Dua jaringan penyerang import dari Brazil, Rafael Ramazottie Quadros berjaya menyelamatkan maruah PKNS yang pada suatu ketika berada dalam ambang kekalahan selepas pelawat melakukan kebangkitan dramatik terutamanya di babak kedua.

Hajat Selangor untuk terus mencipta kemenangan kedua ke atas skuad kendalian Datuk K Rajagobal juga tidak kesampaian apabila aksi minggu terakhir di bulan Ramadan itu jelas dikuasai penuh pasukan tuan rumah.

Pelawat yang kembali ke gelanggang keramat Stadium Shah Alam selepas hampir semusim tidak menjejakkan kaki dengan penampilan terakhir pada 4 Februari tahun lalu apabila tumbang 5-3 kepada PKNS, bagaimanapun dikejutkan dengan gol pertama menerusi ledakan Rafael pada minit ke-19.

Gol itu jelas menyentap semangat pemain skuad kendalian Muhammad Nazliazmi Nasir yang kemudian berpeluang menguji penjaga gol PKNS, Tauffiq Ar Rasyid Johar menerusi sepakan percuma Amri Yahyah namun rembatannya sekadar melintasi gawang tuan rumah pada minit ke-37.

Bersambung babak kedua, Nazliazmi memasukkan Joseph Kalang Tie dan mengeluarkan Muhammad Faizzudin Abidin bagi menambah kreativiti di jentera tengah dengan percaturan itu dilihat berkesan.

Pendahulu senarai penjaring terbanyak liga Rufino Segovia berjaya mengikat kedudukan 1-1 selepas bijak memanfaatkan kekalutan di dalam kotak penalti pada minit ke-79 untuk merekodkan gol yang ke-13 buat dirinya musim ini.

Ketika perlawanan menuju ke penghujung saingan, pemain gantian Selangor, D Kugan menceriakan kem pelawat menerusi gol kedua pada minit ke-89 namun ia tidak kekal lama apabila Rafael sekali lagi meledak buat memastikan satu mata berharga mampu di bawa pulang oleh PKNS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 12:29 AM