PEMAIN Kedah, Paulo Rangel (tengah) diasak pemain Kelantan, Ahmad Haziq Ahmad Puad pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman. FOTO Amran Hamid
Izzali Ismail


KELAB penyokong  bola sepak Darul Aman  (KEPDA) yakin kemenangan 1-0 yang diraih skuad Kedah dalam aksi Liga Super keatas Kelantan Jumaat lalu memberi inspirasi untuk terus merakam kemenangan pada perlawanan selepas cuti hari raya ini.

Pengerusi KEPDA, Hasmadi Hamzah berkata, pihaknya mahu Kedah segera memperkemaskan persiapan sambil melupakan kekalahan di tangan Melaka dan Kelantan sebelum ini.

"Memang kita gusar dengan prestasi tak menyebelahi kita pada dua perlawanan lalu, ramai penyokong kecewa dan hampir putus asa, tetapi kami mahu Kedah terus bangkit dengan prestasi lebih baik selepas cuti hari raya aidilfitri nanti."

"Kita yakin ketua jurulatih Kedah Nidzam Adzha mempunyai strategi dan mampu memacu Kedah ke tahap lebih tinggi dengan sokongan teguh yang ditunjukkan oleh pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).”

Prestasi dalam lima perlawanan pertama Kedah kendalian bekas Jurulatih Ramon Marcote, mencatatkan 10 jaringan dan 12 bolos dan selepas itu terus meningkat lebih baik dibawah kendalian Nidzam Adzha yang  menghasilkan 12 jaringan dan tujuh bolos pada lima perlawanan liga super seterusnya.

"Bermula dengan tangga ketujuh selepas Nidzam mengambil alih pasukan sebelum perlawanan menentang Selangor pada April lalu, kita nampak ada perubahan apabila Kedah kini berada pada tangga ke empat dan 

dibawah kendalian Nidzam juga Kedah mencatat lima kemenangan tiga seri dan cuma tewas dua kali."

Dalam pada itu, Hasmadi juga mengakui penyokong terus menagih gerakan lincah daripada penyerang sensasi kelahiran Brazil, Paulo Rangel pada aksi seterusnya.

"Rangel yang berpengalaman luas sebelum ini mungkin belum menunjukkan aksi sebenarnya, namun kami berharap beliau dapat terus menyerap aura Kedah dan tampil dengan aksi yang lebih memukau pada perlawanan seterusnya selepas hari raya nanti."

Kedah yang kini menduduki tangga keempat carta Liga Super dengan jumlah 24 mata dan bakal bertemu pasukan Kuala Lumpur pada 20 Jun di Stadium Darul Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 3:19 PM