KAPTEN Sweden, Andreas Granqvist pada sidang media. FOTO AFP
KAPTEN Sweden, Andreas Granqvist pada sidang media. FOTO AFP
AFP

SWEDEN sudah melupakan era Zlatan Ibrahimovic dan kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada saingan Piala Dunia, kata kapten pasukan, Andreas Granqvist hari ini selepas tiba di pusat latihan.

Ibrahimovic, 36, yang sering menjadi ikon Sweden sudah bersara daripada pentas antarabangsa selepas saingan Euro 2016, namun bulan lalu timbul spekulasi bekas penyerang Juventus, AC Milan, Barcelona dan Manchester United itu mungkin bakal melakukan penampilan semula.

 

"Ibrahimovic menjadi pemain terbaik Sweden sejak sekian lama, tetapi selepas saingan Euro dia mengumumkan untuk bersara.

"Kami menghormati keputusannya itu," kata Granqvist selepas sesi latihan pertama pasukan di Gelendzhik.  

"Kami perlu fokus kepada skuad yang ada sekarang yang dipilih untuk turun beraksi," kata pertahanan berusia 33 tahun itu.

Granqvist menggantikan Ibrahimovic selaku kapten dan memenangi anugerah pemain terbaik Sweden pada 2017, pemain pertama memenangi anugerah itu selain Ibrahimovic yang mendominasinya sejak 2006. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 8:13 AM