Loew bercakap dengan Ozil ketika sesi latihan di Vatutinki, dekat Moscow. FOTO AFP
AFP

JOACHIM Loew meminta penyokong Jerman berhenti mengejek Ilkay Gundogan dan Mesut Ozil selepas bintang Liga Perdana Inggeris itu berada dalam pertikaian membabitkan politik.

Gundogan dan Ozil, yang dilahirkan di Gelsenkirchen oleh ibu bapa berasal Turki, diejek oleh penyokong ketika perlawanan persahabatan Piala Dunia selepas bergambar dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Gundogan menghadiahkan Erdogan dengan jersi Manchester City tertulis perkataan “kepada presiden saya” namun berkata pertemuan itu bukan bermotifkan politik manakala Ozil enggan mengulas.

 “Tugas saya ialah mendapatkan kedua-dua pemain, yang berdepan masalah dalam situasi ini, supaya berada dalam keadaan yang bagus,” kata ketua jurulatih itu awal pagi tadi dalam sidang akhbar pertama Jerman di Russia.

“Mungkin pemain ini masih diejek. Jadi biarkan. Saya harap ia sebaliknya. Tugas saya ialah supaya mereka menjalankan tugas dan membantu pasukan.”

  Juara dunia bertahan itu akan bermain perlawanan pertama menentang Mexico di Moscow pada Ahad.

Steffen Effenberg ialah bekas pemain antarabangsa Jerman terkini berkata pasangan itu sepatutnya disingkirkan daripada pasukan berikutan skandal berkenaan.

Dalam usaha meyakinkan penyokong Jerman bahawa mereka komited kepada pasukan, Gundogan dan Ozil bertemu Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier sebelum Piala Dunia dan Loew meminta penyokong menyokong pasangan itu – namun setakat ini tidak diendahkan.

Persatuan Bolasepak Jerman tidak gembira dengan situasi berkenaan dan tidak mahu memburukkan keadaan dengan media Jerman.

Presiden DFB, Reinhard Grindel percaya masih banyak boleh dilakukan pemain itu.

“Jika anda lihat Ilkay Gundogan, dia segera menyatakan dengan jelas dia melakukan kesilapan dan bercakap dengan presiden (Steinmeier). Dia sudah melakukan apa yang terdaya,” kata ketua DFB itu. “Begitupun dia masih diejek.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 9:05 AM