KROOS ketika sesi latihan di Vatutinki, dekat Moscow. FOTO Agensi
KROOS ketika sesi latihan di Vatutinki, dekat Moscow. FOTO Agensi
AFP

JERMAN yang akan memulakan kempen mempertahan kejuaraan Piala Dunia bertemu pasukan berpengalaman Mexico esok, perlu melupakan masalah yang dihadapi menjelang kejohanan itu.

Ketika Manuel Neuer baru saja mendapat kembali kecergasannya selepas rehat lapan bulan, Mesut Ozil dan Ilkay Gundogan diejek penyokong Jerman dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini kerana bergambar dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Pemain tengah Real Madrid Toni Kroos berkata, apa yang diperkatakan dalam rancangan temu bual tidak perlu diambil kisah oleh pemain-pemain: “Kami di sini untuk bermain bola sepak,” katanya.

Prestasi skuad kendalian Joachim Loew turut diperkatakan, apabila hanya menang sekali selepas layak ke Piala Dunia - ke atas Arab Saudi yang dibelasah 5-0 oleh Russia pada perlawanan pembukaan.

“Kami perlu haloba, semangat membara - ia sebahagian daripada perkara yang akan mencetus kejayaan ketika latihan dan di atas padang. Kami perlu berjuang pada setiap inci,” kata pemain pertahanan Jerome Boateng.

“Saya rasa kami dikenali sebagai pasukan yang bermula dengan baik.”

Jerman menewaskan Mexico 4-1 dalam laluan menjulang Piala Konfederasi tahun lalu tetapi Kroos percaya keputusan itu tidak memberi sebarang makna sekarang.

“Kami tidak boleh memandang rendah, walaupun mendapat kemenangan selesa di Piala Konfederasi tahun lalu. Kami memandang serius perkara ini, dan lebih penting lagi kerana ini perlawanan pertama kami di Piala Dunia,” katanya.

Jerman dalam usaha menjadi pasukan pertama dalam tempoh 56 tahun mempertahankan kejuaraan, selepas Brazil pada tahun 1962, tetapi pertahanan Mexico Carlos Salcedo percaya lawan Kumpulan F mereka itu bukan pasukan yang kebal.

“Kita banyak bercakap tentang mereka dan kita menganggap mereka pasukan yang hebat,” kata Salcedo. “Tetapi tidak ada pasukan yang tidak boleh dikalahkan. Dalam bola sepak, jurang antara pasukan semakin kecil dan hanya ada beberapa pemain yang dapat menjaringkan dua atau tiga gol dalam satu perlawanan, (Lionel) Messi, (Cristiano) Ronaldo dan Neymar.”

Seperti Jerman, Mexico layak ke Piala Dunia buat kali ketujuh berturut-turut dengan selesa - mengesahkan tiket ke Russia ketika berbaki tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Jun 2018 @ 9:54 AM