JORGE LORENZO

PELUMBA Ducati, Jorge Lorenzo meraih petak hadapan pertama sejak 2016 selepas mencatat masa terpantas pada sesi ujian kelayakan perlumbaan MotoGP Grand Prix Catalunya, malam ini.

 Pelumba Sepanyol itu yang juga juara empat kali di Sepanyol merakam 1 minit 38.68 saat bagi memastikan kedudukan di petak hadapan yang mana kali terakhir dilakukannya di Valencia pada November 2016 ketika bersama pasukan Yamaha.

 Pendahulu kejuaraan dunia, Marc Marquez dari pasukan Honda akan bermula di petak kedua manakala rakan sepasukan Lorenzo, Andrea Dovioso yang memenangi perlumbaan di Montmelo tahun lalu mencatat masa ketiga terpantas.

 Juara dunia, Marquez mengalami dua kemalangan di litar yang memaksanya menyertai sesi ujian kelayakan pertama bagi mempunyai peluang bersaing merebut petak hadapan di Q2.

 Sementara itu, pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan Monster Yamaha Tech3 akan bermula di petak ke-14 selepas mencatat masa 1:39.879s pada sesi ujian kelayakan.

 Pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi yang beraksi bersama IDEMITSU Honda Asia akan memulakan saingan esok di kedudukan ke-22 selepas merakam masa 1.44.735s manakala Adam Norrodin daripada pasukan Petronas Sprinta Racing yang beraksi dalam kategori Moto3 juga akan bermula di petak ke-22 dengan catatan 1.49.983s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Jun 2018 @ 11:07 PM