PEMAIN Croatia meraikan gol sendiri Etebo. -Foto REUTERS

KALININGRAD: Gol sendiri dan sepakan penalti memberikan Croatia kemenangan selesa pada aksi pertama Kumpulan D kempen Piala Dunia apabila menewaskan Nigeria 2-0 di Stadium Kaliningrad, sebentar tadi.

 Tandukan terbang Mario Mandzukic yang kemudiannya terkena pemain tengah Nigeria, Oghenekaro Etebo pada minit ke-32 membolehkan Croatia mendahului perlawanan sebelum Luka Modric menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-71.

MODRIC (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto AFP

 Croatia meraih sepakan penalti itu selepas pertahanan Nigeria, William Troost-Ekong mengasari Mandzukic di hadapan pengadil perlawanan di dalam kotak penalti.

 Kemenangan ke atas Nigeria menyaksikan Croatia kini berada di tangga teratas Kumpulan D selepas Argentina terikat 1-1 dengan Iceland di Moscow dalam perlawanan terdahulu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 5:35 AM