Gareth Southgate. FOTO REUTERS
Reuters

REPINO, Russia: Pengendali England Gareth Southgate sudah berusaha sebaik mungkin untuk merendahkan jangkaan terhadap skuad mudanya di Piala Dunia tetapi mereka turun untuk perlawanan pembukaan Kumpulan G menentang Tunisia esok dengan keyakinan tinggi.

Selepas dimalukan oleh Iceland yang menyingkirkan mereka di pusingan kedua Euro 2016 serta kegagalan melepasi peringkat kumpulan di Brazil empat tahun lalu, penyokong England kini tidak lagi mengharapkan untuk memenangi kejohanan itu.

Pelbagai sindiran dilemparkan tetapi pendekatan merendah diri Southgate dan potensi skuad muda yang dibawanya ke Russia menyuntik semula harapan England di Piala Dunia.

“Sebagai sebuah negara perkara ini sering terjadi - harapan tidak begitu tinggi tetapi apabila tiba Piala Dunia, semua kembali bersemangat. Jika Piala Dunia tidak dapat mencetus inspirasi sesebuah negara, saya tidak tahu apa yang boleh,” kata pengarah teknikal Persatuan Bolasepak Inggeris Dan Ashworth.

Skuad kali ini juga dilihat lebih tajam di barisan depan dengan kehadiran Harry Kane dan Raheem Sterling yang akan dibantu oleh Jesse Lingard dan Dele Alli di belakang mereka.

Benteng England diperkuat oleh Harry Maguire dan Kirean Trippier yang diharap dapat menterjemah kehebatan di Liga Perdana Inggeris kepada aksi mantap di Russia. 

Perlawanan terakhir kumpulan menentang Belgium dijangka ujian paling sukar buat England tetapi sejarah mengajar mereka untuk turut berwaspada apabila berdepan Tunisia atau Panama. 

Tunisia beraksi buat kali kelima di Piala Dunia tetapi belum pernah melepasi peringkat kumpulan dan mereka tidak pernah menang sejak menewaskan Mexico dalam aksi pertama mereka pada tahun 1978.

England dan Tunisia pernah bertembung di Piala Dunia Perancis 1998 dengan England menang 2-0 hasil jaringan Alan Shearer dan Paul Scholes.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 8:07 PM