Pengadil mententeramkan pemain Serbia dan Costa Rica selepas perlawanan. FOTO Reuters
Pengadil mententeramkan pemain Serbia dan Costa Rica selepas perlawanan. FOTO Reuters
Reuters

SAMARA, Russia: Sepakan percuma lencong ketua pasukan, Aleksandar Kolarov pada minit ke-56 membantu Serbia mencatat kemenangan 1-0 ke atas Costa Rica dalam aksi pembukaan Kumpulan E di Arena Samara, di sini, sebentar tadi.

Pemain pertahanan kiri itu melakukan rembatan menggunakan kaki kiri menuju ke penjuru kanan gawang lawan sekali gus mengecewakan penjaga gol, Keylor Navas yang sebelum itu bertindak cemerlang pada separuh masa pertama. 

Costa Rica, yang pernah mara ke suku akhir di kejohanan sama pada 2014, bergelut menyempurnakan peluang mencari gol penyamaan berikutan pertahan Serbia bertindak cemerlang di bahagian pertahanan dan beberapa kali cuba untuk menambah jaringan.

Sebelum itu, Serbia membuktikan mereka adalah pasukan pilihan dalam perlawanan ini apabila penyerang, Aleksandar Mitrovic hampir dua kali mendapat peluang selesa di dalam petak penalti lawan seawal minit pertama.

Bagaimanapun, dua minit kemudian Costa Rica melakukan serangan balas, namun tandukan pertahanan Bologna, Giancarlo Gonzalez melalui sepakan penjuru tepat ke arah penjaga gol, Vladimir Stojkovic.

Pada minit ke-12 pasukan bimbingan Oscar Ramirez sekali lagi mempunyai peluang terbaik untuk berada di depan, namun tandukan Giancarlo Gonzalez yang berpunca dari sepakan penjuru tersasar keluar.

Dua minit sebelum separuh masa pertama tamat, Sergej Milinkovic Savic melakukan sepakan akrobatik di dalam petak penalti, namun penjaga gol, Navas berjaya menyelamatkan percubaan berkenaan.

Navas yang juga penjaga gol Real Madrid sekali lagi bertindak cemerlang apabila menyelamatkan percubaan Mitrovic ketika pertarungan satu lawan satu pada minit ke-50. 

Bagaimanapun, kehebatan Navas akhirnya berakhir apabila pertahanan, Kolarov berjaya memecah kebuntuan melalui sepakan percuma lencong dari pada minit ke-56.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 10:14 PM