X
PASUKAN Jepun ketika latihan sebelum menentang Colombia esok di Kazan, Rusia. FOTO AFP
PASUKAN Jepun ketika latihan sebelum menentang Colombia esok di Kazan, Rusia. FOTO AFP
AFP

SKUAD bola sepak Jepun mahu membuktikan keputusan menyingkirkan jurulatih mereka 71 hari sebelum kempen Piala Dunia 2018 bermula adalah tepat.

Mereka menganggap peluang berpihak pada mereka apabila Colombia, pasukan lawan yang akan berdepan Jepun dalam aksi Kumpulan H esok, berdepan dengan masalah pemain tengah yang juga penjaring terbanyak Brazil 2014, James Rodriguez, yang dilihat masih belum pasti diturunkan selepas bergelut dengan kecederaan betis kiri.

Pemain tengah Bayern Munich, Rodriguez adalah pemain tonggak Colombia yang diharap mampu mengemudi pasukan untuk mengulangi pencapaian melangkah ke suku akhir seperti di Brazil, empat tahun lalu.

Rodriguez, 26, meledak enam gol dan membantu empat jaringan bagi membantu Colombia layak ke Russia manakala Wilmar Barrios juga sedang bergelut untuk pulih daripada kecederaan.

Pasukan dari Amerika Selatan itu bakal berdepan Jepun yang dilihat bergelut untuk mengelak daripada tersingkir awal di Piala Dunia biarpun mereka dikemudi Jose Mourinho, kata bekas jurulatih, Philippe Troussier.

Dalam satu temubual bersama AFP baru-baru ini, Troussier menyatakan Jepun tidak mempunyai peluang untuk mara ke pusingan kalah mati selepas menyingkirkan Vahid Halilhodzic, April lalu.

“Biarpun mereka bermain bersama Mourinho ataupun Arsene Wenger, ia mungkin amat sukar buat Jepun untuk ke pusingan 16 terbaik,” kata pengendali dari Perancis yang pernah membawa Jepun ke pusingan kedua pada temasya Piala Dunia 2002.

Selepas memecat Halilhodzic, FA Jepun menamakan bekas pengarah teknikal, Akira Nishino bagi mengisi kerusi panas berkenaan. - AFP

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 10:14 AM