Kaimbi (kiri) pada aksi perlawanan Liga Super. FOTO fail HM
Attirmidzie Rahman

 

KOTA BHARU: Penyerang import baharu Kelantan, Lazarus Kaimbi yang mengalami kecederaan pada bahagian keting kaki berkemungkinan disingkirkan daripada skuad The Red Warriors (TRW) selepas ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata penyerang kelahiran Namibia yang baru beraksi dalam dua perlawanan bersama pasukan mengalami kecederaan terbabit pada sesi latihan pra-perlawanan di Ketereh, di sini baru-baru ini.

"Kaimbi mengalami kecederaan apabila putus urat keting semasa menjalani latihan pasukan dan kemungkinan dia tidak lagi akan beraksi bersama pasukan memandangkan kecederaan itu mengambil tempoh lama untuk pulih,” kata Bibi Ramjani.

"Saya sendiri sudah berbincang dengan ejennya untuk menamatkan kontrak dan menyelesaikan pembayarannya selama satu bulan bersama pasukan.

"Memang keputusan ini sedikit menyukarkan pasukan kerana ia berlaku ketika pasukan memerlukan kekuatan pemain import khususnya di bahagian serangan namun mungkin apa yang berlaku ini ada hikmahnya dan kita terima." 

Terdahulu, Kaimbi yang juga bekas pemain kebangsaan Namibia menjadi sandaran baharu buat skuad Kijang Merah apabila diikat pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia, baru-baru ini.

Pemain berusia 29 tahun itu sempat membuat penampilan dalam dua aksi Liga Super menentang Kedah sebelum ini namun belum menjaringkan gol buat Kelantan.

Ditanya mengenai kemungkinan badan induk itu bakal merekrut pemain baharu dari kuota Asia selepas pemain itu dilepaskan, Bibi Ramjani belum memuktamadkan perkara itu memandangkan jendela perpindahan Liga-M sudah berakhir pada 3 Jun lalu.

"Soal untuk menggantikan Kaimbi kita belum buat keputusan namun jika ada peluang dari Malaysia Football League (MFL) untuk perkara itu, kita tidak akan lepaskan peluang itu

"Ketiadaan Kaimbi menyebabkan kita kekosongan pemain import dari Asia dan kini pasukan mengharapkan kehadiran penyerang Cristiano Marcolino Santos (Brazil) disamping beberapa pemain import lain serta pemain muda tempatan bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 3:50 PM