KETUA Pegawai Eksekutif Atletico Madrid, Miguel Angel Gil Marin (dua dari kiri) selepas mengumumkan kontrak baharu untuk tiga pemain Perancis. Foto Twitter
Reuters

ATLETICO Madrid membuat tiga kejutan di pangkalan latihan Piala Dunia pasukan Perancis apabila mengumumkan kontrak baharu untuk penyerang Antoine Griezmann serta pertahanan, Lucas Hernandez dan secara rasminya mengikat pemain tengah, Thomas Lemar dari AS Monaco.

Dalam satu kenyataan kelab itu, ketiga-tiga kontrak itu ditandatangani di hadapan ketua pegawai eksekutif Atletico, Miguel Angel Gil Marin yang hadir di pangkalan pasukan Perancis, di Istria, Russia.

Khamis lalu, penyerang Perancis, Griezmann mendedahkan dalam satu dokumentari bertajuk ‘The Decision’ yang disiarkan di televisyen Sepanyol dengan menyatakan dirinya menolak pemindahan ke kelab juara Sepanyol, Barcelona dan mahu kekal di Atletico.

Pertahanan Hernandez dalam pada itu melanjutkan kontraknya sehingga tahun 2024 manakala pemain sayap Lemar mengikat kontrak bersama Atletico namun masih memerlukan pengesahan kesihatan serta beberapa syarat lain yang masih dibincangkan bersama AS Monaco.

Berdasarkan laporan media Sepanyol, perjanjian bagi mendapatkan Lemar bernilai lebih daripada RM325 juta (70 juta euro), menjadikan dirinya sebagai pemain termahal dalam sejarah pembelian Atletico.

“Kontrak ini ditandatangani di kem latihan Perancis berlandaskan garis panduan pegawai bertugas Persatuan Bola Sepak Perancis dan jurulatih Perancis, Didier Deschamps,” kata kelab dalam kenyataan itu.

Griezmann, 27, menyertai Atletico pada Julai 2014 dari Real Sociedad dan muncul selaku penjaring terbanyak dalam setiap musim disertainya bersama kelab dari Madrid itu.

Dia meledak dua gol ketika kelab meraih kemenangan 3-0 ke atas Olympique de Marseille dalam aksi final Liga Europa, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 8:45 AM