PEMAIN Belgium menjalani latihan menjelang aksi menentang Tunisia. FOTO Reuters
Reuters

NIZHNY NOVGOROD: Belgium dijangka berdepan tugas lebih sukar apabila turun bertemu Tunisia, Sabtu ini selepas meraih kemenangan meyakinkan ke atas Panama pada aksi pembukaan.

Skuad bimbingan Roberto Martinez melakar kemenangan 3-0 ke atas Panama pada aksi pembukaan Kumpulan G di Sochi, Isnin lalu, namun mereka dijangka bakal berdepan aksi keras dan bertahan dari Tunisia apabila membuat perhitungan di Stadium Spartak di Moscow.

Situasi itu bermakna, Belgium dilihat sangat memerlukan khidmat kapten, Eden Hazard dan Kevin De Bruyne sekiranya mereka mahu melangkah ke pusingan kedua sekali gus menamatkan kempen Tunisia.

Kedua-dua bintang Liga Perdana Inggeris itu dilihat memerlukan masa untuk menyesuaikan diri pada perlawanan pertama, tetapi keupayaan kedua-duanya selepas itu memberi impak yang besar.

“Perlawanan pertama dalam apa saja kejohanan pastinya sedikit sukar tetapi selepas mendapat rehat, kami sudah bersedia untuk turun beraksi sekali lagi,” kata Hazard menjelang perlawanan itu.

De Bruyne yang menjadi arkitek kepada gol Romelu Lukaku mengakui tanggungjawab besar yang dipikulnya pada edisi kali ini.

“Saya perlu pastikan penyerang berada dalam situasi yang membolehkan mereka untuk menjaringkan gol. Jika berjaya melakukannya, saya tahu saya sudah melakukan yang terbaik,” katanya.

Tunisia mempunyai reputasi sebagai pasukan dari Afrika Selatan yang berupaya untuk menjadikan perlawanan agak sukar hasil kombinasi taktikal secara bertahan selain sikap melengah-lengahkan masa.

Pendekatan itu hampir membuahkan hasil ketika bertemu England, Isnin lalu apabila mereka berjaya menyukarkan anak buah Gareth Southgate sepanjang separuh masa kedua selepas berjaya menyamakan kedudukan 10 minit sebelum berakhir babak pertama menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun, Tunisia terperangkap dengan taktikal bertahan apabila akhirnya tewas 1-2 dan kini memerlukan taktikal lebih baik apabila bertemu Belgium bagi menghidupkan kembali peluang mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 9:16 PM