PENGURUS Chelsea, Antonio Conte (kiri) bakal dipecat dalam tempoh beberapa hari lagi bagi digantikan dengan pengendali Napoli, Maurizio Sarri.
AFP

ANTONIO Conte bakal dipecat sebagai pengurus Chelsea dalam tempoh beberapa hari lagi dengan Maurizio Sarri dijangka menggantikannya, menurut laporan media Britain hari ini.

Conte sedang bercuti tetapi akan diberitahu khidmatnya tidak lagi diperlukan walaupun berjaya memenangi Piala FA musim lalu dengan menjadikan kegagalannya menukar gaya pengurusan sebagai punca.

Sarri yang juga bekas pegawai bank, dikaitkan dengan posisi itu sebelum melepaskan jawatan di Napoli selepas menjulang skuad dari Naples itu menamatkan saingan Serie A di tempat kedua di belakang Juventus.

Keputusan memecat dan membawa masuk kedua-dua individu itu pastinya akan menelan kos yang besar daripada pemilik Chelsea Roman Abramovich.

Conte akan mendapat pampasan 9 juta pound (RM 47.7 juta) sekiranya tidak menerima tawaran baharu daripada kelab lain dan Napoli pula akan berhutang dengan Sarri kerana kontraknya masih belum berakhir.

Walaupun masih belum ada pengesahan daripada kelab berkenaan, The London Evening Standard dan The Sun melaporkan Sarri sudah menyenarai pendek barisan staf yang diimpikannya.

Giovanni Martusciello – yang mana beliau bekerjasama di Empoli – akan dipancing dari Inter Milan manakala bekas legenda Chelsea, Gianfranco Zola turut dilaporkan berada dalam senarai terbabit.

Perancang tengah bertahan Senegal, Kalidou Koulibaly yang bekerja bersamanya di Napoli percaya Sarri kini sedang menuju ke Chelsea ketika memberitahu stesen radio England, talkSPORT selepas kemenangan 2-1 ke atas Poland dalam aksi Piala Dunia.

“Mereka (Chelsea) boleh mengharapkan permainan yang cantik kerana dia jurulatih yang hebat,” kata Koulibaly.

“Saya amat kecewa kerana dia meninggalkan kami tetapi kini kami mempunyai jurulatih yang hebat (Carlo Ancelotti). Kami tahu kami mampu memenangi sesuatu dengannya.”

Malah, difahamkan Sarri sudah menyatakan kepada lembaga pengarah Chelsea yang dia berhasrat mendapatkan pemain tengah Uruguay, Matias Veccino dan pemain sayap Sepanyol, Jose Callejon dari Napoli sekiranya diangkat menjadi pengurus The Blues. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 9:28 PM