STUDER bersama traktornya. FOTO/AFP
STUDER bersama traktornya. FOTO/AFP
Reuters

KALININGRAD, Russia: Selepas meredah hampir 2,000 kilometer laluan lebuh raya dan bandar, Beat Studer yang hanya memandu traktor tiba di Kaliningrad semalam bagi melengkapkan perjalanan epik Piala Dunia untuk menyaksikan pasukan kesayangan Switzerland menentang Serbia.

Traktor lama berwarna merah keluaran 1964 itu berada di parkir Stadium Kaliningrad selepas mengharungi perjalanan selama 12 hari bermula dari Lucerne dengan Studer membawa harapan untuk menyaksikan Switzerland meraih kemenangan dalam pertembungan Kumpulan E esok.

Studer yang turut memiliki muzium traktor bersama dua kawannya, Werner Zimmermann dan Josef Wyer mendapat idea selepas Switzerland layak ke Russia namun pengembaraan mereka itu hanya dilakukan jika ia membawa manfaat.

Mereka memutuskan untuk melakukan perjalanan itu bagi mengutip derma kepada kanak-kanak Switzerland dan hasilnya sebanyak 20,000 Swiss Francs (RM80,744) berjaya dikumpul,

“Kami tidak berdepan masalah menaiki traktor," kata Wyer yang memandu van sokongan dan mengendalikan urusan logistik manakala Studer dan Zimmermann memandu traktor selama enam jam setiap hari.

"Saya hanya ada masalah dengan dua pemandu itu kerana setiap malam selepas mereka selesai memandu, saya akan memberitahu mereka bahawa mereka seperti berada dalam persembahan patung boneka kerana perangai masing-masing seperti budak-budak.

"Biasanya lelaki hanya melakukan perkara seperti ini sekali dalam hidup jadi kami gembira melakukannya bersama. Idea bodoh biasanya datang bila anda mabuk," tambah Weir secara berseloroh.

Studer dan rakannya itu ditahan polis di Poland Sabtu lalu ketika memandu traktor sebelum memasuki sempadan Russia kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk namun mereka dilepaskan selepas pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 1:34 AM