PUTERI Takamado (tengah) ketika melawat kem latihan Jepun. FOTO/AFP
Reuters

KAZAN: Puteri Takamado berjumpa dengan pasukan kebangsaan Jepun di pangkalan latihan Piala Dunia mereka dekat Kazan semalam menjelang pertemuan kedua Kumpulan H berdepan Senegal.

Puteri berkenaan yang menjadi ahli keluarga Diraja Jepun pertama berkunjung ke Russia sejak 1916, menyaksikan skuad Samurai Biru menewaskan Colombia pada perlawanan pembukaan dan akan menyaksikan pertemuan Ahad ini menentang Senegal di Ekaterinburg.

Pemain dan staf menyambut puteri berkenaan namun tetap fokus dengan persiapan berdepan pasukan Afrika itu yang menewaskan Poland 2-1 pada perlawanan pertama.

“Kami menang perlawanan pertama jadi suasana sangat bagus tetapi kami tidak boleh terbawa-bawa,” kata kapten Jepun, Makoto Hasebe.

“Kami perlu mengambil kira yang kami menentang 10 orang hampir 90 minit, jadi perlawanan berikutnya akan menjadi cerita berbeza, kami perlu memikirkannya.”

Jepun dan Senegal mendahului Kumpulan H dengan tiga mata dengan Poland dan Colombia akan berdepan sesama sendiri bagi mencari mata pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 3:13 AM