OLIVER BIERHOFF
Reuters

SOCHI: Juara bertahan, Jerman berdepan tekanan tinggi menjelang pertembungan kedua peringkat kumpulan menentang Sweden, esok yang dirumuskan ‘final awal’ dengan barisan Joachim Loew mengerti kekalahan menyebabkan mereka akan tersingkir.

Perbincangan pra-kejohanan di Jerman memfokuskan tumpuan kepada usaha mereka untuk melakar sejarah menjadi pasukan pertama dalam tempoh 56 tahun yang berjaya mengekalkan kejuaraan Piala Dunia.

Tetapi selepas tewas kepada Mexico 0-1, juara empat kali itu tiada pilihan lain selain wajib menewaskan Sweden untuk memastikan mereka kekal bersaing dalam kejohanan terulung itu.

Secara tiba-tiba, detik manis kejayaan di Rio de Janeiro empat tahun lalu seolah-olah sudah lama berlalu.

“Semua orang menyedari perlawanan ini adalah ‘final’ pertama kami dan agak menjengkelkan ia datang terlalu awal,” kata pengarah pasukan Oliver Bierhoff.

Corak permainan yang diperagakan ketika menentang Mexico jelas menimbulkan kemarahan dan kritikan daripada penyokong yang sudah biasa diulit dengan kejayaan.

Malah, bekas pemain turut menggesa pemain yang kurang menyerlah seperti Mesut Ozil dan Sami Khedira digugurkan.

Sementara itu, Thomas Mueller mengakui pasukan berada dalam tekanan tinggi selepas kekalahan kepada Mexico dan tekanan yang diberikan penyokong.

Pertahanan Mats Hummels bagaimanapun berjanji pemain akan tampil “dengan aksi yang berbeza.”

Jerman juga berjanji tidak lagi mengulangi kesilapan memberi ruang kepada Mexico untuk melancarkan serangan ketika turun menentang Sweden.

“Kami akan bermain dengan lebih bijak, bukan seperti budak sekolah,” kata Khedira.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 7:45 PM