JURULATIH Tunisia, Nabil Maaloul akui skuadnya ada senjata rahsia menjelang aksi menentang Belgium. FOTO EPA-EFE
Reuters

MOSCOW: Jurulatih Tunisia, Nabil Maaloul mahu anak buahnya menggunakan kepantasan untuk mengatasi Belgium dalam misi menghidupkan kempen Piala Dunia mereka selepas tumpas kepada England.

Dengan tujuh kekalahan daripada tujuh perlawanan diharungi empat wakil Arab dalam kejohanan ini, Tunisia kini merasai tekanan namun tetap percaya mereka boleh mengembalikan maruah negara Arab dengan melakukan kejutan ke atas pasukan pilihan Kumpulan G.

"Kami perlu menang. Kami tidak ada pilihan," kata Maaloul kepada pemberita menjelang aksi di Stadium Spartak, Moscow malam ini.

"Belgium pasukan yang sangat kuat tapi kami sudah bersedia. Kami mahu mengelak daripada melakukan kesilapan seperti dalam perlawanan pertama. 

"Kami akan mengubah cara permainan kami," tambahnya yang menyatakan akan mengekalkan formasi 4-3-3 ketika tewas 1-2 di tangan England namun dengan pendekatan lebih menyerang.

"Pasukan kami mampu memecah benteng pertahanan lawan," katanya yang merujuk kepada benteng tiga pemain pertahanan Belgium.

"Apa yang kami mahu lakukan adalah menembusi pertahanan Belgium dan melakukannya secara pantas.

"England memaksa Tunisia lebih banyak bertahan," kata Maaloul. "Namun Tunisia mempunyai senjata yang saya tidak akan dedahkan di sini. Kami mempunyai kemahiran menyerang dan kami akan buktikan esok."

Jika Tunisia tewas dan England menewaskan Panama pada Ahad, mereka akan tersingkir manakala jika seri, Tunisia perlu mengalahkan Panama dan berharap Belgium kecundang di tangan England pada aksi terakhir kumpulan.

Ketika ditanya mengenai kedudukan sebagai wakil Arab tunggal yang masih mempunyai peluang mara ke pusingan kedua selepas penyingkiran Mesir, Arab Saudi dan Maghribi, beliau berkata: "Tidak syak lagi semua perhatian daripada negara Arab tertumpu kepada Tunisia dan harapan mereka kini kepada Tunisia. 

“Kami merasakan tanggungjawab itu. Kami tidak boleh kalah. Kami perlu menjadi pasukan Arab yang berbeza. Kami perlu memberikan aksi terbaik.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 4:18 AM