SETIAUSAHA Kehormat ASUM, Mae Chen. FOTO Aswadi Alias
Mohd Khairie Khalid

 

KESATUAN Renang Amatur Malaysia (ASUM) memohon masyarakat tidak menuduh secara melulu dengan mengatakan semua atlet yang terbabit dalam video yang tular di media sosial baru-baru ini mengambil minuman keras.

Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen menegaskan meskipun kelibat Nur Dhabitah Sabri dilihat dalam salah satu daripada video berkenaan, penerjun muda itu tidak turut sama meminum minuman keras.

“Saya harap masyarakat tidak salah anggap terhadap mereka dan ubah persepsi kerana atlet Melayu seperti Nur Dhabitah tidak minum minuman keras pada waktu itu,” kata Mae Chen.

“Begitu juga Hanis Nazirul Jaya Surya, dia berada di bilik lain sewaktu kejadian, dia juga tidak terbabit dengan pengambilan minuman keras.”

Rabu lalu, media melaporkan skuad terjun terpalit isu panas apabila video yang tular di internet menunjukkan penerjun Malaysia sedang bersuka ria, berfoya-foya serta meminum alkohol, dan kejadian itu dipercayai berlaku di Guangzhou, China.

Video yang didakwa dirakam Februari lalu membabitkan beberapa penerjun senior daripada Program Podium serta penerjun remaja.

Hanya tujuh atlet terbabit dalam video berkenaan dan mereka sudah tampil memohon maaf di atas perkara itu.

Berkenaan Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia, Ogos ini, Mae berharap semua penerjun yang tersenarai ke temasya itu menunjukkan tingkah laku yang baik bagi memulihkan kembali imej mereka.

Mae turut memaklumkan Exco ASUM akan berbincang secepat mungkin bagi memutuskan sama ada atlet kategori B akan bertanding atau tidak.

“Kita akan lakukan secepat mungkin dan keputusan mungkin akan diperoleh minggu depan,” katanya.

Untuk rekod, 15 atlet disenaraikan ke Sukan Asia dalam kategori A dengan 12 daripadanya adalah daripada sukan terjun dan selebihnya sukan renang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 8:32 PM