PENYERANG Belgium, Romelu Lukaku (kiri) bersama Eden Hazard meraikan jaringan ketika aksi menentang Tunisia di Stadium Spartak, malam tadi. FOTO Reuters
Agensi

MOSCOW: Belgium menjadi pasukan pertama Kumpulan G yang mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas melakar kemenangan kedua dengan menewaskan Tunisia 5-2, sebentar tadi. 

Skuad bimbingan Roberto Martinez itu sebelum ini turut mengutip tiga mata hasil kemenangan ke atas pendatang baharu Piala Dunia, Panama 3-0 dalam aksi sulung, Isnin lalu. 

Dalam aksi di Stadium Spartak, Eden Hazard dan Romelu Lukaku membuktikan ketajaman penyudah mereka apabila masing-masing meledak dua gol selain satu gol disumbangkan Mischy Batshuayi. 

Belgium tidak menunggu lama untuk mendahului selepas mereka dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan pertahanan Tunisia, Syam Ben Youssef ke atas Hazard dan bintang Chelsea itu tenang menyempurnakannya bagi membolehkan anak buah Martinez di depan pada minit keenam. 

Anak buah Roberto Martinez terus mempamerkan belang selepas Lukaku yang juga penyerang Manchester United meledak gol kedua pasukan itu apabila melakukan rembatan dari dalam kotak penalti selepas menerima lorongan daripada Dries Mertens pada minit ke-16. 

Bagaimanapun, Tunisia berjaya merapatkan jurang dua minit kemudian menerusi tandukan dilakukan Dylan Bronn yang menyambar sepakan percuma diambil kapten, Wahbi Khazri tetapi Lukaku sekali lagi membuktikan kehebatan apabila meledak gol kedua peribadi pada masa tambahan babak pertama bagi membolehkan Belgium mendahului 3-1.

Gol itu menyaksikan Lukaku setakat ini sudah merekodkan empat gol dalam dua perlawanan pada kempen Piala Dunia kali ini selepas turut menjaringkan dua gol ketika menentang Panama. 

Bersambung babak kedua, Hazard meletakkan namanya sekali lagi sebagai penjaring pada minit ke-51 sebelum Batshuayi menyumbat gol kelima Belgium pada minit ke-90. 

Tunisia bagaimanapun tidak berputus asa dan berjaya meraih gol kedua menerusi Khazri pada masa tambahan babak kedua tetapi jaringan itu sudah terlambat bagi menghalang kemenangan bergaya Belgium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 10:23 PM