DIEGO COSTA
Reuters

KALININGRAD: Sepanyol akan sekali lagi mengharapkan kelibat Diego Costa untuk mencipta jaringan pada Piala Dunia berdepan pasukan sudah tersingkir, Maghribi awal pagi Selasa ini ketika mereka cuba mengatasi Portugal dan meraih kedudukan teratas Kumpulan B.

Keputusan seri di Kaliningrad akan memastikan juara 2010 itu laluan selamat ke kelompok 16 pasukan terakhir tetapi untuk memastikan mereka menjuarai kumpulan, mereka perlu menjaringkan lebih banyak gol berbanding Portugal yang menentang Iran pada masa sama.

Jika kedua-dua pasukan Eropah itu menang dengan jaringan sama, kedudukan teratas akan ditentukan berdasarkan pasukan yang memiliki rekod disiplin lebih baik dengan Sepanyol ketika ini memiliki satu kad kuning berbanding dua buat Portugal.

Iran bagaimanapun boleh mara ke kelompok 16 terakhir jika mereka mencipta kejutan dengan menewaskan juara Eropah itu.

Costa sudah menjaringkan tiga daripada empat gol Sepanyol di Russia, muncul sebagai tonggak utama mengejutkan selepas pemecatan Julen Lopetegui yang menjejaskan kempen pasukan itu.

Pemain kelahiran Brazil itu hambar pada Piala Dunia 2014 selepas memilih untuk bersama Sepanyol dengan gagal melakukan satu pun cubaan dalam dua perlawanan ketika juara bertahan itu tersingkir.

Costa bermula dengan baik pada perlawanan pembukaan berdepan Portugal, menjaringkan gol penyamaan ketika seri 3-3 sambil menampilkan kekuatan dan kemahiran sebelum menjaringkan gol kedua.

Berdepan Iran yang banyak bertahan, dia memecah kebuntuan bagi memberikan kemenangan buat Sepanyol.

“Dia sudah faham bahawa dia tidak perlu banyak menyentuh bola dan dia perlu fokus untuk melakukan cubaan,” kata pemain tengah Sepanyol, Koke sambil memuji rakan sepasukan Atletico Madrid itu yang akhirnya mendapat peranan utama bersama Sepanyol.

“Selain dikenali dengan semangat juang tinggi. Dia paling selesa bertarung dengan pertahanan. Itulah kepakarannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 11:35 PM