SEGOVIA jaring hatrik ketika berdepan PKNS sekali gus bawa Selangor selangkah ke final. -Foto BERNAMA
Mohd Fitrie Muhamad

 

SELANGOR hampir pasti mara ke final Piala FA selepas memastikan kemenangan bergaya 4-0 ke atas PKNS FC pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Empat gol yang bakal dibawa ke aksi timbal balik 30 Jun ini dianggap selesa buat Red Giants untuk layak ke final buat kali pertama sejak kali terakhir mereka ke pentas akhir pada edisi 2009.

  Bagaimanapun, pengendali Selangor, Nazliazmi Nasir harus berterima kasih kepada penyerang importnya, Rufino Segovia yang meledak hatrik dan menjadi punca kepada jaringan keempat menerusi gol sendiri pertahanan lawan, Azmizi Azmi.

 Dalam tempoh 30 minit pertama, PKNS FC dilihat tampil lebih tersusun dalam mengatur gerakan ketika Selangor lebih tertumpu kepada serangan balas.

  Berdasarkan peluang diraih, barisan depan tuan rumah lebih merbahaya terutamanya menerusi penyerang importnya, Rufino.

  Kelibat pemain import dari Sepanyol itu nyata menjadi duri dalam daging buat PKNS apabila Rufino meledak dua gol dalam tempoh dua minit, bermula minit ke-39 diikuti gol kedua pada minit ke-40.

  Bersambung babak kedua, Selangor terus garang dan hanya memerlukan 11 minit untuk menambah derita PKNS, juga menerusi Rufino yang melengkapkan hatriknya pada perlawanan itu.

  Minit ke-64, Selangor terus gah menambah gol keempat dan kali ini menerusi pertahanan PKNS, Azmizi Azmi apabila usahanya menghalang hantaran lintang Rufino menyaksikan bola terus menerjah gawang sendiri.

  Walaupun PKNS FC cuba bangkit memburu bekal jaringan di tempat lawan, Selangor nyata cukup kebal mempertahankan gawang mereka daripada dibolosi.

Sementara itu Pahang memilih laluan sukar apabila sekadar seri 1-1 dengan PKNP FC pada satu lagi aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur.

Pemain pertahanan PKNP, Ahmad Sukri Ab Hamid mengejutkan tuan rumah hasil jaringan pendahuluan pada minit ke-12 selepas penjaga gol tuan rumah, Helmi Eliza Elias gagal menyelamatkan gawang daripada dibolosi.

Namun, pemain tengah Tok Gajah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menceriakan skuad itu selepas menewaskan penjaga gol lawan, Ahmad Asyraaf Omar pada minit ke-24.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 11:38 PM