VELA jaring gol pembukaan Mexico. -Foto Reuters
Reuters

ROSTOV-ON-DON: Jaringan penalti Carlos Vela dan gol cemerlang daripada Javier Hernandez membantu Mexico meraih kemenangan 2-1 ke atas Korea Selatan dalam saingan Kumpulan F, sebentar tadi sekali gus menghampiri pusingan 16 terakhir.

Mexico yang melakar kemenangan mengejut ke atas Jerman pada aksi pembukaan mereka mendahului pada minit ke-26 hasil sepakan penalti Vela berjaya memperdaya penjaga gawang Cho Hyun-woo selepas percubaan Andres Guardado terkena tangan Jang Hyun-soo.

Hernandez menambah gol kedua pada minit ke-66 hasil satu serangan balas selepas Mexico merampas bola di kawasan mereka.

Son Heung-min meledak satu gol untuk Korea Selatan pada penghujung perlawanan dengan rembatan kaki kiri yang menarik dari luar kotak penalti.

Mexico mendahului kumpulan dengan enam mata selepas dua perlawanan manakala Korea Selatan yang tewas kedua-dua perlawanan hanya mempunyai peluang yang sangat tipis untuk mara ke pusingan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 1:43 AM