SHIN TAE-YONG
Reuters

ROSTOV-ON-DON: Jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong mengakui pertahanannya longgar ketika tewas 2-1 dalam perlawanan Kumpulan F kepada Mexico awal pagi tadi yang menyebabkan skuad dari Asia itu hampir tersingkir selepas dua perlawanan.

Korea yang tewas 1-0 kepada Sweden dalam perlawanan pembukaan memberikan penalti dalam kedua-dua perlawanan dan awal pagi tadi pertahanan, Jang Hyun-soo menghalang hantaran lintang Andres Guardado dengan tangan sebelum Carlos Vela menyempurnakan sepakan itu.

“Adalah malang pertahanan longgar dan kami sukar menukarnya dengan mudah,” kata Shin.

“Barisan pertahanan kami memang longgar dan bagi Jang, dia memegang bola tetapi kami tidak boleh mengubahnya.”

Korea Selatan masih ada peluang tipis mara ke kelompok 16 terakhir berdasarkan perbezaan gol jika mereka menewaskan juara bertahan, Jerman dan Mexico menewaskan Sweden pada perlawanan terakhir Kumpulan F.

“Kami memberikan dua penalti, ia satu masalah tetapi pertahanan hilang keyakinan dan ia amat malang,” kata Shin.

“Saya harap mereka akan mengembalikan keyakinan dan bertarung untuk perlawanan seterusnya.”

Korea Selatan yang menang hanya satu daripada 11 perlawanan Piala Dunia terakhir, mara ke pusingan kalah mati kali terakhir pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 4:59 AM