TONI KROOS
TONI KROOS
AFP

SOCHI, Russia: Toni Kroos berkata, jaringan minit terakhir yang memastikan kemenangan dramatik 2-1 buat Jerman mengatasi Sweden menebus kesilapan awalnya seterusnya menghidupkan kembali peluang buat juara bertahan Piala Dunia itu.

Kesilapan hantaran Kroos memberikan gol babak pertama Ola Toivonen buat Sweden sebelum Jerman bangkit dengan gol Marco Reus sebelum jaringan menerusi sepakan percuma Kroos pada lima minit masa tambahan.

“Sudah tentu, gol pertama (oleh Sweden) ialah kesilapan saya. Apabila anda membuat 400 hantaran dalam satu perlawanan, satu atau dua pasti ia pergi ke tempat tidak sepatutnya,” kata Kroos.

Selepas tewas perlawanan pembukaan di tangan Mexico, Jerman mesti menewaskan Korea Selatan di Kazan Rabu depan untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan kalah mati dari Kumpulan F dan berharap Sweden gagal mendapat keputusan lebih baik berdepan Mexico.

“Kini kami mesti pulih dan mesti menewaskan Korea. Kami perlu bermain dengan yakin,” kata Kroos.

Jerman yang kehilangan pertahanan berpengaruh Jerome Boateng kerana kad kuning kedua, jauh daripada meyakinkan dan menampilkan aksi gementar selepas kekalahan berdepan Mexico. 

“Secara keseluruhan, kami sekali lagi melalui fasa yang kami bermain sangat bagus tetapi tidak menggunakan peluang kami ada,” kata Kroos.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 5:40 AM