RUDY cedera ketika menentang Korea Selatan. FOTO/AFP
RUDY cedera ketika menentang Korea Selatan. FOTO/AFP
Agensi

SOCHI: Pemain tengah Jerman, Sebastian Rudy belum pasti dapat diturunkan menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan, apabila mengalami kebarangkalian patah tulang hidung ketika menentang Sweden, malam tadi.

 

Pemain tengah Bayern Munich itu ditendang di muka selepas setengah jam perlawanan, ketika mereka ketinggalan menerusi gol Ola Toivonen, sebelum Marco Reus mengikat kedudukan.

 

Toni Kroos kemudian meledak gol kemenangan pada minit ke-95 untuk melengkapkan kebangkitan Jerman dan membolehkan mereka melonjak ke tangga kedua Kumpulan F selepas dua perlawanan.

 

Kemenangan ke atas Korea Selatan akan memberi jaminan buat mereka mara ke pusingan 16 terbaik, namun Joachin Low menjelaskan beliau mungkin hilang khidmat Rudy.

 

“Sebastian Rudy mungkin mengalami patah tulang hidung. Darahnya tidak berhenti mengalir, jadi kami perlu mengeluarkannya,” katanya yang memasukkan Ilkay Gundogan bagi menggantikan Rudy.

 

“Mungkin dia boleh beraksi Rabu ini. Kita tunggu dan lihat saja.”

Jerome Boateng pula akan diketepikan pada aksi itu kerana digantung selepas menerima kad merah ketika bertemu Sweden dan mengulas situasi itu, Low berkata ‘kita perlu mennilai semula skuad dan melihat barisan pemain yang ada.

 

“Pemain keletihan menuju ke penghujung perlawanan. Marco Reus mengalami kekejangan ketika aksi berbaki 10 minit, Boateng tidak dapat beraksi dan Rudy patah tulang hidung.

 

“Kita akan berehat sebelum melakukan persiapan bertemu Korea Selatan. Pemantau kami sudah menyaksikan perlawanan mereka dua kali, tetapi kita akan lihat pemain yang boleh diturunkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 1:18 PM