HERVE RENARD
Reuters

KALININGRAD: Jurulatih Maghribi, Herve Renard berkata, pasukannya menjadi mangsa ‘ketidakadilan’ apabila menjadi pasukan pertama terkeluar daripada saingan Piala Dunia sebelum perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B menentang Sepanyol.

Maghribi tersingkir apabila tewas 0-1 kepada Portugal di Moscow dan gol sendiri pada minit ke-95 menyaksikan mereka tewas kepada Iran dengan keputusan yang sama pada aksi pembukaan.

“Apabila anda melihat kepada fakta ketika perlawanan bertemu Portugal, ia benar-benar tidak adil.

“Untuk gol yang kami lepaskan, ia jelas satu kesalahan (pertahanan) Pepe di hadapan gawang. Mengapa (pengadil) tidak melihatnya?” kata Renard di Kaliningrad.

“Kemudiannya bola terkena tangan Pepe, sama seperti yang berlaku (penalti diberikan) kepada Australia ketika Socceroos bertemu Denmark dalam aksi Kumpulan C.

Maghribi melancarkan serangan bertali arus ke kubu Portugal pada babak kedua di Moscow selepas Cristiano Ronaldo membuka jaringan menerusi tandukan di awal perlawanan.

“Bagi saya ia memang tidak adil sama sekali, terutama kualiti yang dipamerkan oleh pemain saya ketika perlawanan. Anda tidak harus lupa bahawa kami menentang juara Eropah.

“Ia tidak adil kerana kami sudah terkeluar daripada saingan tapi kami perlu menerima hakikat.”

Penjaga gol Munir al-Kajoui mengakui bahawa pasukannya tidak bernasib baik selepas dua perlawanan setakat ini.

“Kami tiba di Russia dengan jurulatih memaklumkan kepada kami mengenai VAR dan kami perlu berhati-hati dengan itu,” katanya.

“Tapi dalam kes kami ia sudah dimuktamadkan dan kami sudah terkeluar dari saingan.

“Kami bercakap merujuk beberapa ketika yang amat menyakitkan,” kata Munir yang beraksi bersama kelab bola sepak di Sepanyol dan sememangnya menjangkakan pertemuan yang sukar menentang juara 2010 di Kaliningrad nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 1:09 AM