GRIEZMANN masih bergelut untuk capai prestasi terbaik di Piala Dunia 2018. FOTO/AFP
AFP

MOSCOW: Perancis yang dilabel pilihan juara menunggu penyerangnya, Antoine Griezmann untuk kembali menyengat dengan sasaran menghuni tangga teratas Kumpulan G menentang Denmark, esok.

Griezmann menandatangani kontrak lanjutan bersama Atletico Madrid sehingga 2023, minggu lalu sekali pun amat diminati Barcelona tetapi pemain berusia 27 tahun itu belum menunjukkan prestasi terbaiknya di Russia.

Sekali pun meledak gol menerusi penalti ketika kemenangan 2-1 ke atas Australia pada aksi pembukaan, prestasi keseluruhan Griezmann di Russia jauh daripada Euro 2016 apabila dia muncul selaku penjaring terbanyak.

“Saya fikir dia akan menjadi lebih kuat, saya berharap begitu. Itulah yang berlaku ketika Euro, dia bermula dengan perlahan dan menamatkan saingan dengan amat kuat. Saya tidak bimbang mengenainya,” kata penyerang Chelsea, Olivier Giroud.

Griezmann meledak enam gol ketika Perancis menamatkan kempen Euro dua tahun lalu selaku naib juara di belakang Portugal dengan lima jaringannya disumbatkan ketika saingan kalah mati.

“Dia mengharungi musim yang panjang, cukup meletihkan. Dia mengharungi jumlah perlawanan yang besar,” kata Giroud dengan Griezmann turut membantu Atletico menjulang gelaran ketiga Liga Europa.

“Apabila kamu sedikit letih, agak sukar untuk mengatasinya di atas padang, tetapi dia masih lagi amat penting buat kami.”

Griezmann turut mengakui masih ada ruang untuk Perancis menjadi lebih baik ketika sasaran pasukan itu adalah untuk mara lebih jauh di Piala Dunia.

“Saya akan menjadi lebih baik, di tahap semua orang jangkakan, termasuk diri saya dan ia akan datang dengan pantas,” katanya kepada televisyen Perancis, TF1.

Skuad kendalian Didier Deschamps itu sudah pun layak ke pusingan berikutnya dan akan menghuni tangga teratas kumpulan andai mencatat keputusan seri di sini sekali gus meletakkan Denmark selaku naib juara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 8:35 AM