RENARD tetap bangga dengan pencapaikan anak buahnya. FOTO/AFP
AFP

KALININGRAD: Pengendali Maghribi, Herve Renard enggan bercakap mengenai masa depannya bersama pasukan itu susulan keputusan seri 2-2 dengan Sepanyol dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Dunia, awal pagi tadi.

Pasukan Afrika Utara terbabit menamatkan saingan di tangga terbawah dengan satu mata tetapi bernasib baik untuk menutup kempen dengan penuh bangga selepas berjaya mencemaskan Sepanyol yang terpaksa menunggu hingga lewat permainan sebelum menjaringkan gol penyamaan menerusi penyerang gantian, Iago Aspas.

“Buat masa ini kami sedang menikmati saat ini,” kata Renard yang mengambil alih Maghribi pada 2016 selepas ditanya mengenai masa depannya.

“Saya akan fikirkan mengenai masa depan saya kemudian. Kita tunggu sehingga Piala Dunia berakhir... Ia pengalaman yang bermakna. Banyak yang kami pelajari sepanjang tiga perlawanan.”

Maghribi memperaga taktikal menyerang yang menarik pada pertembungan terakhir itu dan dua kali di depan menerusi sumbangan gol Khalid Boutaib dan Youssef En-Nesyri.

Sepanyol bagaimanapun berjaya memperoleh gol penyamaan hasil usaha Isco dan Aspas.

“Kami memang amat suka untuk mencatat kemenangan ke atas Sepanyol, ini sebab utama mengapa kami turun ke sini hari ini. Kami berdepan masalah sama seperti pasukan lain yang menentang Sepanyol,” kata Renard.

“Apabila anda melihat kesebelasan mereka, ia adalah gabungan antara pemain Barcelona dan Real Madrid, jadi mereka ini adalah pemain yang hebat dan pasukan saya sepatutnya berbangga.

“Kami cetek pengalaman... Yang diperlukan untuk meneruskan kemaraan tetapi kami membuktikan kami mampu memberi cabaran kepada dua pasukan terhebat dunia iaitu Sepanyol dan Portugal.”

Keputusan seri itu membantu La Roja mengetepikan Portugal yang terikat 1-1 dengan Iran di tangga teratas kumpulan dan dipisahkan menerusi perbezaan gol selepas kedua-dua pasukan terikat lima mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 8:48 AM