ANDERSSON (tengah) mahu anak buah kekal fokus aksi terakhir peringkat kumpulan. FOTO/AFP
ANDERSSON (tengah) mahu anak buah kekal fokus aksi terakhir peringkat kumpulan. FOTO/AFP
AFP

YEKATERINBURG, Russia: Pengendali Sweden, Janne Andersson perlu mencari formula terbaik untuk memulihkan semangat pemainnya susulan kekalahan perit kepada Jerman dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia.

Sweden berada dalam landasan untuk mara ke peringkat 16 terakhir sehingga Toni Kroos melencongkan jaringan kemenangan pada minit kelima masa kecederaan untuk menyelamatkan juara bertahan itu dengan kemenangan 2-1, Ahad lalu.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan kini terikat bersama tiga mata tatkala turut mempunyai perbezaan gol yang sama dan jumlah jaringan yang sama, sementara Mexico pula di tangga teratas dengan enam mata dan sudah sebelah kaki ke peringkat 16 terakhir.

Sweden hanya akan mara sekiranya berjaya mengatasi keputusan Jerman.

Andersson berkata: “Seluruh pemain saya masih bernyawa, jadi kami perlu menyembuhkan luka itu dan bangkit untuk perlawanan terakhir.”

Pengendali berusia 55 tahun itu yang menempelak pemain dan staf Jerman di bangku simpanan kerana ‘sengaja memalukan lawan’ dengan meraikan jaringan kemenangan Kroos secara berlebihan, turut terpaksa menangani situasi buruk menimpa pemain sayapnya, Jimmy Durmaz.

Durmaz yang lahir di Sweden selepas ibu bapanya berhijrah daripada Turki, kini diancam teruk di laman sosial selepas menghadiahkan sepakan percuma yang disudahkan Kroos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 12:33 PM