Pique melakukan terjahan dua kaki terhadap pemain Maghribi, Khalid Boutaib manakala Ramos (kiri) dan Pique lega selepas seri 2-2 dengan Maghribi. FOTO REUTERS/EPA-EFE
Agensi

MOSCOW: Pengkritik sukan, Leon Osman dan Joleon Lescott mempersoal bagaimana pertahanan Sepanyol, Gerard Pique boleh terlepas daripada dilayangkan kad merah ataupun rujukan semula video bantuan pengadil (VAR) ketika aksi berdepan Maghribi semalam.

Tonggak Barcelona itu, melakukan terjahan dua kaki ke atas Maghribi Khalid Boutaib tetapi terlepas daripada sebarang hukuman oleh pengadil Uzbekistan, Ravshan Irmatov. 

Begitupun bercakap selepas Sepanyol bangkit mengikat Maghribi 2-2, Osman dan Lescott merasakan bekas pertahanan Manchester United itu bernasib baik untuk kekal dalam padang.

"Saya fikir ia adalah kad merah," kata Osman. "Dalam dunia bola sepak moden anda tidak boleh menjatuhkan badan, ia dikira sebagai di luar kawalan. 

"Terjahan dua kaki itu, iya dia mendapat bola terlebih dulu dan dia berada di atas permukaan padang ketika melakukan sentuhan tetapi terjahan sebegitu tidak dibenarkan ketika ini.

"Untuk tidak menggunakan VAR, (pengadil) sepatutnya meminta untuk melihat semula terjahan berkenaan, ia agak keras. Tampak jelas tapak kasut mengenai kaki pemain Maghribi."

Sementara itu, Lescott turut sependapat dengan Osman apabila menekankan terjahan itu amat ganas.

"Ia bukan satu keperluan untuk melakukan terjahan itu," katanya. 

"Dia kelihatan lebih dekat dengan bola, jadi saya amat terkejut apabila dia bertindak balas sebegitu dan paling mengejutkan dia langsung tidak menerima kad walaupun kad kuning."

Malah, bekas tonggak Everton dan Manchester City itu turut mengkritik persembahan 'kebudak-budakan' pertahanan Sepanyol - Pique dan Sergio Ramos pada aksi berkenaan yang mendapat kritikan pelbagai pihak.

"Sepatutnya dengan status mereka sebagai pertahanan bertaraf dunia tidak wajar melakukan kesilapan mudah dan corak permainan mereka seperti kebudak-budakan," kata Lescott.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 3:34 PM