PEMAIN Melaka United (MU), R.Surendran (kanan) menyekat kemaraan pemain Johor Darul Ta’€™zim (JT), Fernando Gaston Elizari Sedano (tengah) pada aksi Liga Super Malaysia di Stadium Hang Jebat. FOTO Rasul Azli Samad
Nazri Abu Bakar


JOHOR Darul Ta'zim (JDT) menghampiri juara Liga Super buat musim kelima berturut-turut selepas mengatasi Melaka United (MU)  4- 0 di Stadium Hang Jebat , Paya Rumput sebentar tadi.

Meskipun menguasai hampir keseluruhan babak pertama, namun JDT gagal mencipta jaringan awal selepas setiap asakan mereka berjaya dikekang pertahanan tuan rumah.

Peluang terbaik buat JDT mendahului hadir menerusi Sapawi Rashid pada minit ke-31 namun tandukannya berjaya diselamatkan pemjaga gol Mohd Fazli Paat.

Asakan bertali arus pelawat membuatkan kubu tuan rumah sering cemas namun mereka sempat melakukan percubaan  menerusi tolakan Ifedayo Olusegun pada minit ke-35 tetapi penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias pantas menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Import dari Belarus Yahor Zubovich juga hampir meletakkan MU di depan dua minit selepas itu namun rembatan kencangnya tinggi melepasi palang gol ketika peluang jelas terhidang menerusi hantaran Ifedayo.

Harimau Selatan berjaya memecah kebuntuan jaringan menerusi Fernando Marquez yang mudah merembat masuk hasil hantaran lintang Fernando Elizari pada minit ke -40 perlawanan.

Babak kedua menyaksikan JDT berjaya menambah jaringan selepas import baharunya dari Argentina Fernando Elizari meledak masuk gol kedua pasukannya pada minit ke-53 yang bijak mengutip bola muntah Fazli Paat.

JDT terus mengganas pada aksi terbabit selepas Sapawi Rashid mencetak gol ketiga buat pelawat dengan sekali lagi Fazli tertewas pada minit ke -64 ketika barisan tuan rumah hanya berkubu di kawasan sendiri.

Tanpa lima tonggak utama termasuk Khairul  Fahmi Che Mat, R Gopinathan , S Chanturu, Syahrul Azwari dan Lee Chang Hoon meletakkan skuad terbabit  gagal menampilkan aksi lebih bertenaga ketika pelawat bijak mengawal permainan dengan jaringan keempat JDT hadir menerusi Nazmi Faiz pada minit ke-90.

Walaupun berbaki lima perlawanan, keputusan di Melaka menyaksikan anak buah Raul Longhi sudah hampir mengenggam juara liga biarpun pencabar terdekat Perak cuba menghambat namun dilihat agak sukar menguggat kedudukan selesa JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 12:26 AM