KAWASAN yang tenang di Moscow. FOTO/AFP
Reuters

REPINO: Pertahanan kiri England, Danny Rose yang memberitahu keluarganya supaya tidak datang ke Piala Dunia di Russia akibat bimbang dengan masalah perkauman, bersedia untuk mengubah fikiran.

“Ia bergantung sama ada saya beraksi atau tidak tetapi saya kini bersedia untuk membenarkan keluarga saya datang ke sini, jadi saya berharap kami dapat meraih kemenangan pada Jumaat ini,” kata Rose.

“Dan apabila kami menewaskan pencabar yang akan ditemui pada pusingan seterusnya, kita lihat semula.”

England akan berdepan Belgium pada awal pagi Jumaat ini dalam aksi terakhir Kumpulan G selepas melayakkan diri ke peringkat kalah mati hasil dua kemenangan.


ROSE (kanan) harap dapat diturunkan ketika England menentang Belgium. FOTO/AFP

Setakat ini, masih belum terdapat sebarang laporan ancaman perkauman pada aksi membabitkan England dan Rose berkata, pengalamannya di negara itu amat positif.

“Ini kali pertama saya berada di Russia, dan ia amat berbeza berbanding jangkaan awal saya. Saya mengharungi masa yang hebat di sini,” katanya.

Rose sekadar menghangatkan bangku simpanan untuk dua aksi pertama bertemu Tunisia dan Panama tetapi mungkin mendapat peluang bagi pertemuan dengan Belgium.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 9:27 AM