X
PEMAIN Perak, Gilmar Jose Da Silva (tengah) menanduk bola sambil dihalang dua pemain Kelantan di Stadium Perak, Ipoh. FOTO/MUHAIZAN YAHYA
PEMAIN Perak, Gilmar Jose Da Silva (tengah) menanduk bola sambil dihalang dua pemain Kelantan di Stadium Perak, Ipoh. FOTO/MUHAIZAN YAHYA
Azizan Hashim


YUSRI Che Lah akur akan kekurangan Kelantan tetapi beliau belum berhasrat untuk menyerah kalah dalam usaha menyelamatkan The Red Warriors (TRW) daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

“Kelantan tidak mempunyai pemain berkualiti serta berpengalaman bagi misi ini.

“Selain itu, kami juga tidak memiliki khidmat import mencukupi berikutan kecederaan,” kata Yusri ketika mengulas kekalahan 0-1 anak buahnya kepada Perak di Stadium Perak, malam tadi.

Pada perlawanan itu, Kelantan yang membariskan ramai pemain muda, berjaya memberi cabaran kepada tuan rumah tetapi kekurangan idea menjejaskan pencapaian.

“Kurang pengalaman menyaksikan pemain tidak tahu apa yang mereka perlu lakukan dalam situasi tertentu,” katanya.

Yusri bagaimanapun enggan cemas biarpun Kelantan sedang menghuni dasar liga ketika ini.

Katanya, misi meletakkan Kelantan pada kedudukan sekurang-kurangnya tangga ke-10 seperti yang diamanahkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) masih boleh digapai kerana saingan musim ini masih berbaki lima perlawanan.

Yusri berkata, pasukan di tangga ke-10 iaitu PKNP FC mengumpul 17 mata dan masih boleh dipintas.

“Kita kena tengok dua perlawanan Kelantan iaitu menentang Selangor dan Melaka United di tempat sendiri nanti.

“Jika mampu menang kedua-dua perlawanan itu sambil PKNP FC tumpas, maka peluang Kelantan tetap ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 1:09 PM