PEMAIN Melaka R.Surendran (kiri) menghalang kemaraan pemain JDT, Fernando Gaston Elizari Sedano (tengah) di Stadium Hang Jebat, Krubong. FOTO/ RASUL AZLI SAMAD
Nazri Abu Bakar


KETIADAAN lima tonggak utama Melaka United (MU) ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) amat dirasai skuad itu sehingga tewas 0-4 kepada lawan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam tadi.

Perkara itu diakui penolong jurulatih MU, Ridzuan Abu Shah yang menganggap ketumpulan barisan serangan, kerapuhan jentera tengah dan pertahanan pasukan adalah berpunca daripada ketiadaan lima pemain terbabit.

Tanpa Khairul Fahmi Che Mat, R Gopinathan, S Chanturu, Syahrul Azwari dan Lee Chang Hoon yang mengalami kecederaan menyaksikan pasukannya kurang mantap walaupun berusaha keras menangani cabaran Harimau Selatan.

Walaupun semua pemain yang diturunkan pada perlawanan itu memberi persembahan terbaik, namun kecemerlangan lawan menjadi pemusnah kepada usaha MU untuk mengejutkan pelawat.

“Mereka berjaya memberi tentangan pada 45 minit pertama dan bertahan dengan baik serta hanya satu jaringan berjaya dicipta lawan. Namun, babak kedua menyaksikan pemain kami menerima tekanan lebih hebat sehingga pelawat mampu menambah tiga gol.

“Jika dua peluang babak pertama menerusi Yahor Zubovich dan Ifedayo Olusegun berjaya mencipta jaringan, tidak mustahil keputusan perlawanan berbeza,” katanya.

Beliau berkata, fokus kini pertemuan berdepan Kedah dengan kehadiran lima tonggak penting itu pastinya membentuk aksi lebih bertenga buat skuad Hang Tuah.

Sementara itu, jurulatih JDT, Raul Longhi berkata, persembahan pasukannya lebih baik pada 45 minit kedua selepas kurang menyengat pada babak pertama.

“Corak permainan juga lebih teratur dengan hantaran kemas walaupun babak pertama kami turut menguasai permainan. Namun, tiga gol selepas itu memberi gambaran sentuhan pasukan lebih positif.

“Saya melihat MU berusaha gigih untuk memberi saingan, namun diakui tanpa pemain utama, termasuk Chanturu dan Gopinathan persembahan pasukan terbabit agak terbatas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 1:45 PM