BALOY beraksi untuk Panama buat kali terakhir dalam Piala Dunia 2018. FOTO/AFP
Agensi

SARANSK: Pertahanan Panama, Felipe Baloy mempunyai satu lagi misi sebelum menamatkan karier di peringkat antarabangsa pada usia 37 tahun.

Selepas menjaringkan gol pertama negaranya di pentas sulung Piala Dunia, Baloy mahu Panama merasai nikmat kemenangan di kejohanan bola sepak paling berprestij ini.

Halangan mereka adalah Tunisia, yang masih lagi mencari kemenangan pertama di Piala Dunia sejak 1978 apabila kedua-dua pasukan beraksi dalam saingan Kumpulan G, awal pagi Jumaat ini.

“Apabila tiba di Piala Dunia, kami tahu akan menghadapi tiga perlawanan sukar menentang Belgium, England dan Tunisia.

“Kami sedar dua perlawanan awal sangat sukar. Pada aksi terakhir menentang England, kami tidak berjaya mencatat kemenangan tetapi kami berjaya meledak gol pertama.

“Ini tidak bermakna kami akan menewaskan Tunisia tetapi kami harap kemenangan untuk dihadiahkan kepada rakyat Panama, jadi mereka boleh meraikan dan berbangga dengan kami,” kata Baloy.

Setakat ini, Tunisia dilihat lebih kompetitif berbanding Panama, malah England memerlukan gol pada minit terakhir untuk mengalahkan mereka 2-1.

Walaupun ketinggalan beberapa gol awal ketika menentang Belgium, Tunisia berjaya bangkit dengan membalas dua gol sebelum tumpas 2-5.

Tiga gol mereka sekarang ini dijaringkan pemain tengah Ferjani Sassi, pertahanan, Dylan Bronn dan penyerang Renne, Wahbi Khazri.

Baloy menganggap Khazri adalah seorang pemain berbakat dan mereka tidak boleh terlalu yakin serta memandang mudah.

Panama tumpas 0-3 kepada Belgium dalam perlawanan pembukaan sebelum dibelasah England 1-6.

Keputusan berkenaan memberikan keyakinan buat pertahanan Tunisia, Hamdi Naguez mengenai kemampuan pasukan mereka.

“Kami bermain dua perlawanan menentang pasukan yang lebih baik dari kami, kerana kami berada dalam kumpulan sukar. Sekarang, kami harus fokus dalam perlawanan terakhir dan menang ke atas Panama. Ia akan menamatkan penantian 40 tahun tanpa mencatatkan sebarang kemenangan di Piala Dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 1:55 PM