Osman Nok. FOTO ASROL AWANG


KUANTAN: Pesilat negara akan menjalani latihan fasa akhir di Ho Chi Minh, Vietnam dari 10 hingga 25 Julai sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Indonesia pada Ogos ini.

Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memburu sasaran tiga pingat emas ditetapkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), walaupun mereka sedar bakal berdepan saingan sengit pesilat ruan rumah.

Pengurus Besar PESAKA, Datuk Osman Nok berkata, mereka yakin pesilat negara mampu menempuh cabaran itu berdasarkan persiapan yang dilakukan setakat ini, terutama daripada aspek menguatkan ketahanan mental.

"Tiga emas yang disasarkan itu dibuat berdasarkan prestasi semasa atlet, tetapi jika melepasi sasaran itu, ia adalah bonus buat skuad negara," katanya.

Pada masa sama, PESAKA juga berpuas hati dengan komitmen 10 pesilat sepanjang berada di Bishkek, Kyrgyzstan selama seminggu sejak 19 Jun lalu.

Kunjungan ke Bishkek itu lebih kepada menilai keupayaan pesilat, selain membantu pesilat Kyrgyzstan bagi menghadapi Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini.

"Kunjungan ke Kyrgyzstan bukan saja menilai prestasi pesilat negara pada aksi persahabatan, malah memberi tunjuk ajar daripada segi teknik kepada pesilat negara itu.

"Menerusi pengalaman yang dimiliki, PESAKA memberi penerangan kepada skuad silat Kyrgyzstan kerana mereka masih lagi baru dalam sukan ini kerana lebih kepada seni mempertahan diri Muay Thai,” katanya.

Hasil aksi persahabatan ini, katanya pesilat Kyrgyzstan banyak belajar menjadi pesilat yang bagus dan kunjungan PESAKA juga lebih kepada memperkenalkan lagi silat di Asia Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 4:31 PM